Malakat Mall umum kerjasama niaga dengan 3 entiti gergasi

0
1188
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim.

PUCHONG – Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim hari ini mengumumkan kerjasama dengan tiga entiti gergasi perniagaan yang dijangka melonjak potensi kumpulan perniagaan miliknya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, tawaran kerjasama itu melibatkan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), sebuah syarikat stesen minyak dan syarikat perkhidmatan penghantaran utama di negara ini.

Menurutnya, kerjasama pertama melibatkan tawaran membuka cawangan Malakat Express dan kedai runcit di 20 buah stesen minyak berkenaan.

Premis Malakat Express di Desa Setapak, Wangsa Maju.
Prasarana yang memiliki aset-aset pengangkutan awam.

Yang kedua katanya adalah kerjasama dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui penyediaan ruang perniagaan di stesen-stesen utama laluan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk diusahakan kumpulannMalakat Mall.

“Prasarana menawarkan kerjasama untuk Malakat Mall menyediakan produk barang-barang keperluan harian yang boleh ditempah oleh pengguna LRT.

“Dengan cara itu pengguna boleh membuat tempahan barang keperluan semasa dalam tren dan mendapatkan barang sebaik sahaja tiba di stesen,” katanya ketika ditemui di Malakat Grocer Cawangan Taman Putra Perdana petang ini.

Yang ketiga menurut Coach Fadzil adalah kerjasama dengan syarikat penghantaran (courier) utama di negara ini untuk melancarkan pembelian secara dalam talian di Malakat Grocer.

“Dengan kapasiti berjumlah puluhan ribu penghantar, kami yakin kerjasama ini akan memberi peluang dan impak yang baik kepada Malakat Mall.

“Servis courier itu juga merupakan aspek yang sangat diperlukan terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sekarang,” katanya.

Minuman teh boba yang merupakan antara produk popular yang dipasarkan oleh Malakat Mall.

Coach Fadzil berkata, melalui peluang yang sudah ditawarkan dan di masih peringkat perbincangan itu, beliau yakin akan dapat memberi kesan yang positif kepada perniagaan Malakat Mall.

Sementara itu, beliau turut menawarkan peluang menjana pendapatan kepada orang ramai melalui Program Usahawan Zakirin dan Program Digital Marketer Malakat Grocer.

Program itu katanya, hanya memerlukan orang ramai menjayakan promosi dan kempen yang dilakukan oleh Malakat Grocer.

“Hubungi Malakat Mall di Facebook untuk mengetahui secara lebih mengenai Program Digital Marketer Malakat Grocer.

“Jana pendapatan dengan hanya ‘copy, paste, like dan share’ promosi kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here