Malaysia kekal destinasi pelaburan utama rantau ini

0
54
Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin

CYBERJAYA – Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan utama di rantau Asia dan masih mampu menarik minat pelabur asing susulan trend pemulihan ekonomi global daripada penularan Covid-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun ekonomi negara menyusut sebanyak 5.6 peratus iaitu paras paling rendah sejak 1998, unjuran ekonomi dunia yang bertambah sebanyak 5.5 peratus pada 2021 akan memberi kelebihan kepada beberapa sektor.

Antara yang dilihat berpotensi adalah dalam industri Elektrik dan elektronik (E&E), Mesin dan peralatan (M&E), aeroangkasa, automotif dan alat perubatan.

“Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi global pada 2020 di mana hampir semua negara di seluruh dunia mengalami kelembapan ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali di mana KDNK menguncup 3.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan ringkas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2021.

Mohd Uzir berkata, dari segi prestasi bulanan, ekonomi negara mencatatkan penguncupan 4.7 peratus pada Oktober tahun lalu, menurun lebih perlahan pada November kepada negatif 4.0 peratus dan negatif 1.7 pada Disember.

“Ekonomi global pada ketika ini berada dalam trend pemulihan daripada kemerosotan akibat COVID-19,” katanya.

Memetik World Economic Outlook Update yang dikeluarkan oleh International Monetary Fund (IMF) pada Januari 2021 Mohd Uzir berkata, ekonomi dunia diunjur bertambah baik kepada 5.5 peratus pada 2021 dan 4.2 peratus pada 2022

“Ini akan disusuli aktiviti ekonomi yang perlahan berikutan langkah kawalan bagi membendung pandemik pada 2020,” katanya.

Sementara itu, eksport barangan pula telah memacu lebihan yang berterusan dalam Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia mencatatkan RM19.0 bilion pada suku tahun terakhir 2020 dengan lebihan akaun semasa tertinggi pada RM62.1 bilion sejak 2011.

Katanya, Malaysia masih berupaya mengekalkan lebihan akaun semasa berterusan terutamanya disokong oleh eksport barangan selari dengan prestasi sektor pembuatan.

Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan mencatatkan defisit tertinggi sebanyak RM48.0 bilion di mana perjalanan sebagai penyumbang utama kepada perkhidmatan buat pertama kalinya dalam tempoh tiga puluh tahun merekodkan defisit RM7.8 bilion yang dipengaruhi oleh penutupan sempadan dan sekatan perjalanan.

Dari segi pelaburan, walaupun aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) rendah sebanyak RM13.9 bilion, kedudukan FDI mencatatkan lonjakan RM703.5 bilion,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here