MARA sahkan berlaku jangkitan Covid-19 di MRSM Bentong

0
129
Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pelajar di MRSM Bentong

CYBERJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan berlakunya jangkitan Covid-19 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong, Pahang seperti yang tular dalam media atas talian semalam.

Menurut MARA dalam satu kenyataan, berikutan itu sebanyak 38 pelajar, lima pekerja dewan selera, enam staf bertugas di asrama dan seorang guru yang didapati sebagai kontak rapat kepada pelajar yang disahkan positif Covid-19 telah menjalani ujian calitan di maktab bagi mengesan Covid-19.

“Pemantauan secara berterusan telah dilakukan oleh pihak Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab. 

“Pelajar yang didapati bergejala dan positif telah dibuat pengasingan dan ditempatkan di rumah warden yang telah dikhaskan serta tidak menggunakan kemudahan yang sama dengan pelajar lain. 

“Kebajikan pelajar adalah fokus utama maktab dalam menghadapi situasi ini dengan memastikan makanan sentiasa mencukupi dan pelajar ini turut dibekalkan makanan tambahan. Makanan kepada pelajar dihidang secara bungkus dan diserah kepada pelajar di bilik masing-masing oleh petugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MARA turut memandang serius dakwaan daripada sumber ibu bapa yang dipetik oleh sumber media atas talian berhubung kejadian itu.

Proses sanitasi turut dilakukan di kawasan maktab bagi membasmi penularan wabak Covid-19

Katanya, dakwaan yang dibuat itu adalah tidak tepat  dan pihak maktab sentiasa memberikan maklumat terkini kepada ibubapa dan seluruh kakitangan mengenai situasi sebenar yang terjadi.

“Berikutan itu, tidak wujud dakwaan ibubapa tidak diberi apa-apa makluman serta tiada arahan dikeluarkan supaya pelajar mendiamkan diri. 

“Bahkan sejak dari awal kes jangkitan dikesan, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Bentong (PKD) telah terlibat secara langsung melaksanakan ujian saringan dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib,”katanya.

Pada masa sama, katanya MRSM Bentong juga telah mengambil langkah segera dengan menubuhkan Jawatankuasa Bencana Covid-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku.

Katanya, para pelajar lain turut dikawal pergerakan mereka dengan hanya terhad di aras bilik mereka sahaja dan ditempatkan seorang bagi setiap bilik untuk mempastikan penjarakan dilaksanakan setiap masa. 

“Semua langkah ini dilaksanakan atas nasihat PKD dan mengikut SOP keselamatan yang telah ditetapkan. Para guru homeroom dan kaunselor turut terlibat aktif dalam memberi sokongan emosi dan dorongan positif kepada pelajar sepanjang menghadapi kes jangkitan ini. 

“MARA ingin menegaskan bahawa dalam menghadapi kes-kes jangkitan Covid-19 ini, pengurusan MRSM sentiasa mengikuti SOP yang telah ditetapkan dengan dipantau oleh pihak berwajib dan SOP ini bukanlah ditentukan oleh pihak MARA,”ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here