Maritim Malaysia gagalkan penyeludupan ayam sejuk beku, rokok

0
119

SEMPORNA – Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim) mematahkan dua penyeludupan membabitkan 300 kilogram (kg) ayam sejuk beku dan 30 karton rokok dalam dua operasi berasingan sekitar pulau di daerah ini, semalam.

Kedua-dua rampasan dilakukan pada jam 1.30 pagi dan jam 1.55 pagi selepas mengesan satu kegiatan menyeludup keluar daging ayam sejuk beku tanpa permit di sekitar Pulau Bohey Dulang.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 20 kotak mengandungi daging ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM2,700 dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran menggunakan bot enjin di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan, semua daging ayam tiada permit eksport yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Norrimi berkata, kes kedua membabitkan cubaan menyeludup masuk sebanyak 6,000 batang rokok di Pulau Gaya Dulang dianggarkan bernilai RM1,950 yang dibawa masuk menggunakan bot pam yang tiada nombor pendaftaran.

“Rokok itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here