Masjid, surau di Perak dibenarkan dibuka ikut kapasiti jemaah

0
116
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan semua masjid dan surau di Perak menerima bilangan jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah mengikut keluasan dewan solat.berkuat kuasa mulai solat Maghrib pada 18 Februari 2021

CYBERJAYA – Bermula Khamis ini semua masjid dan surau di Perak dibenarkan menerima bilangan jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah mengikut keluasan dewan solat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkuat kuasa mulai solat Maghrib pada 18 Februari 2021 sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat setelah baginda berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah Allah dan beribadah secara berjemaah. Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Dalam memenuhi hasrat tersebut, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas KKM menangani wabak Covid-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata, baginda turut membenarkan semua surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang mendirikan solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.

Pada masa sama, katanya, kuliah ilmu turut dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara solat Maghrib dan solat Isyak, selepas solat Subuh dan sementara menanti azan solat Jumaat.

Sementara itu, Mohd Annuar berkata, baginda turut membenarkan jemaah wanita untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau.

Menurutnya, semua jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah mestilah terdiri daripada warganegara, penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas.

“Kumpulan berisiko tinggi dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau sebagai langkah penghindaran demi mengelakkan berlakunya komplikasi kesihatan.

“Tidak dibenarkan diadakan jamuan di dalam masjid dan surau, merangkumi pekarangan masjid dan surau,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here