Mempersiap Maritim Malaysia menghadapi cabaran serantau

0
80

PERSOALAN yang sering timbul adakah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebuah organisasi tentera atau penguatkuasa awam? Sekiranya APMM yang lebih dikenali sebagai Maritim Malaysia adalah organisasi penguatkuasa awam, mengapa ia perlu dipersenjatai lebih dari senjata ringan?

Maritim Malaysia sebenarnya adalah sebuah organisasi separa-tentera atau kebiasaannya dikenali sebagai para-militari. Pasukan separa tentera adalah pasukan beruniform yang mempunyai struktur organisasi seperti sebuah pasukan tentera professional. Mereka dilatih mengedalikan senjata dan taktik, dan mempunyai budaya seperti sebuah pasukan tentera, namun ia bukanlah sebahagian daripada angkatan tentera rasmi sesebuah negara.

Maritim Malaysia selain berfungsi menguatkuasakan undang-undang dan ketenteraman, juga terlibat mencegah dan menyekat pelakuan kesalahan seperti penyeludupan, pencemaran maritim, perlanunan dan pada masa yang sama juga bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas mencari dan menyelamat maritim serta lain-lain kewajipan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan maritim negara terkawal.

Berdasarkan kepada peruntukan di dalam Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004, kawasan operasi bagi Maritim Malaysia adalah Zon Maritim Malaysia, iaitu perairan pendalaman, laut wilayah, pelantar benua, zon ekonomi eksklusif dan perairan perikanan Malaysia termasuk juga ruang udara di Zon tersebut. Kawasan operasi Maritim Malaysia meliputi sejauh 200 batu nautika, iaitu bermula dari laut pendalaman (tepi pantai) sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif dan Pelantar Benua. Mengawal sempadan perairan sepanjang 8,840 kilometer dengan keseluruhan Zon Maritim Malaysia seluas 614,000 kilometer persegi adalah tugas yang sangat mencabar sepertimana kata Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som. (Rujuk: “APMM komited jaga perairan negara” oleh Muhamad Hafis Nawawi, Harian Metro, 25 Oktober 2020 link https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/634636/apmm-komited-jaga-perairan-negara).

Namun begitu, Maritim Malaysia telah berjaya memerangi jenayah maritim seperti rompakan di Selat Melaka dan mencipta satu ‘benchmark’ kejayaan Maritim Malaysia dengan merekodkan statistik sifar kes tiga tahun berturut-turut bermula 2017 hingga 2019 dan berterusan kes sifar sehingga Oktober 2020. Dalam Op Naga Timur dan Op Naga Barat (2019) sahaja, aset-aset Maritim Malaysia telah terlibat melakukan 11,501 pemeriksaan ke atas vesel bagi memastikan perairan negara selamat, bebas daripada jenayah dan ancaman.

Peranan Maritim Malaysia semasa konflik

Di bawah Akta 633 APMM 2004, agensi ini akan berada dibawah kawalan dan perintah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa darurat, krisis khas atau perang. Penggunaan pasukan separa tentera untuk menyokong pasukan tempur dalam konflik bersenjata adalah dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa dengan syarat ia dimaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat di dalam konflik tersebut (rujuk Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) Peraturan No. 4 Definasi Angkatan Bersenjata, Seksyen No. 2 Penggabungan pasukan separa tentera atau agensi penguatkuasa bersenjata ke dalam angkatan bersenjata/tentera).

Semasa berlakunya peperangan ataupun konflik, Maritim Malaysia juga berperanan mencegah penyusupan masuk musuh melalui jalan laut. Dengan membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan penggeledahan ke atas bot-bot atau kapal-kapal asing yang mungkin membawa ancaman, kapal-kapal perang TLDM akan dapat fokus kepada operasi mereka dan aset-aset mereka akan dapat digunakan secara optima untuk menangani konflik. Kapal-kapal Maritim Malaysia juga boleh menjadi pengiring kepada kapal-kapal yang membawa kargo penting semasa tempoh konflik tersebut.

Kepentingan maritim kepada negara dan ancaman yang dihadapi

Sejak berkurun lamanya Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi laluan perkapalan penting di dunia. Apabila negara Malaysia terbentuk, kita masih mewarisi persisir pantai yang panjang dan strategik. Lautan juga memainkan peranan yang penting dalam menyumbangkan kepada ekonomi Malaysia seperti sektor perdagangan, pengangkutan dan pelancongan. Laut China Selatan contohnya, selain dari kaya dengan khazanah hidupan marin, ia juga mempunyai simpanan minyak dan gas asli yang besar terutamanya di utara Borneo dan kawasan timur Semenanjung Malaysia. Kepulauan Spratly iaitu zon yang kaya dengan simpanan minyak juga telah dituntut oleh enam buah negara iaitu Malaysia, China, Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan. Selat Melaka pula adalah laluan strategik perkapalan antarabangsa yang juga merupakan “Laluan Sutera Maritim” kepada China. Selat sepanjang 800 km ini sempit pada bahagian selatan dengan kelebaran 65 km, dan melebar di bahagian paling utara dengan keluasan 250 km. Ia adalah penghubung kepada Lautan Hindi (Laut Andaman) dan Lautan Pasifik (Laut China Selatan).

Laporan dari Nippon Maritime Center yang berpengkalan di Singapura menunjukkan peningkatan ketara trafik perkapalan di Selat Melaka pada tahun 2017 iaitu dari 222 kapal sehari pada tahun 2015 kepada 231 kapal sehari pada tahun 2017. Ini bermakna 10 buah kapal memasuki atau keluar dari Selat Melaka setiap jam. (Rujuk: https://www.seanews.com.tr/transits-through-the-malacca-straits). Tiga perkara tersebut iaitu khazanah hidupan marin, simpanan minyak dan gas serta laluan perkapalan dunia sudah cukup untuk menarik minat China sebagai sebuah kuasa besar untuk menguasai atau paling tidak mempengaruhi negara-negara yang terlibat menjadi sekutunya.

Sebagai sebuah kuasa besar, China mungkin akan mengulangi tindakan Empayar Jepun yang menjadi punca kepada pecahnya Perang Pasifik dengan serangan ke atas Kota Bharu dan Pearl Harbour pada 8 Disember 1941. Jepun yang bergantung kepada 80% bekalan minyak import pada masa itu merasa terancam apabila sekatan dikenakan ke atas mereka oleh negara-negara Barat dan sekutunya. Jepun lebih rela berperang dari membiarkan ekonomi mereka runtuh yang akan memberikan kesan buruk kepada empayarnya.

Dalam situasi berhadapan dengan kuasa ketenteraan yang lebih besar, jalan rundingan berdiplomasi sahaja tidak mencukupi buat Malaysia. Oleh itu adalah disarankan Maritim Malaysia diperkasakan dengan segera dan mengambil tindakan drastik seperti Filipina yang memperkukuhkan pertahanan maritim mereka dengan penambahan aset-aset, keanggotaan dan sebagainya. Maritim Malaysia juga boleh dilihat sebagai badan utama yang boleh memainkan peranan ‘Small Stick Diplomacy’ diperingkat antarabangsa, terutamanya pada zon tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Maritim Malaysia harus mempunyai lebih banyak kapal bersaiz OPV supaya dapat menyaingi kapal-kapal CCG (Pengawal Pantai China).

Memandangkan Maritim Malaysia adalah sebuah agensi penguatkuasaan, kos bagi sistem persenjataan kapal, selenggara dan latihan anak kapal adalah jauh lebih rendah berbanding dengan keperluan kapal-kapal tempur TLDM. Adalah difahamkan bahawa kapal-kapal Maritim Malaysia hanya dilengkapi dengan meriam 30 mm sebagai senjata utamanya, sesuai untuk tugasan penguatkuasaan sebagai pasukan para-militari. Perlu diingat juga penambahan aset baru perlu digandakan bagi menggantikan aset-aset Maritim Malaysia yang telah usang dan memerlukan kos yang tinggi untuk penyelengaraan akibat dari bekalan alat ganti yang semakin sukar diperolehi.

Mengambil contoh China dalam penggunaan CCG mereka, pasukan pengawal pantai dapat menawarkan fleksibiliti kepada kerajaan China dalam mengambil langkah-langkah operasi dan diplomatik yang perlu dikawasan sensitif yang menjadi pertikaian. Penggunaan kapal-kapal tentera laut dengan persenjataan yang berat dan lebih ampuh dilihat berisiko dan provokatif, menjadikan krisis bertukar menjadi pertempuran, yang mana ia hendak dielakkan oleh semua pihak.

Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM 2040)

PPSMM 2040 ini telah dilancarkan pada LIMA’11 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) di Langkawi yang memprincikan agenda-agenda bagi tempoh masa pendek dan panjang bertujuan memacu keberkesanan Maritim Malaysia dalam melaksanakan misi yang telah ditetapkan. Pelan Jangka Pendek memberikan keutamaan kepada perolehan aset, pengambilan dan pembangunan sumber manusia dengan segera bagi menyokong tugas dan aktiviti penguatkuasaan dan carilamat maritim. Pelan Jangka Panjang pula meliputi perolehan dan penggantian aset bagi megekalkan dan melengkapkan kekuatan angkatan Maritim Malaysia. Perlaksanaannya racangan ini dibahagikan kepada beberapa fasa sebagaimana berikut:

a) Fasa 1 (‪2006-2010‬) – telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9) dengan sasaran membentuk Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan dan carilamat maritim yang unggul menjelang 2011. Ciri-ciri Fasa 1 ialah membangunkan aset udara, laut, sistem-sistem penguasaan laut, sistem pemerintahan, kawalan dan perisikan dan sensor-sensor yang berkaitan, dan aset asas Tim Special Task and Rescue (STAR).

b) Fasa 2 (‪2011-2015‬) – (RMK 10), menurut perancangannya, Maritim Malaysia akan menjadi agensi penguatkuasaan maritim yang tunggal menjelang bulan Ogos 2011 dan pengambilalihan tugas penguatkuasaan undang-undang maritim negara secara keseluruhan dari lain-lain agensi penguatkuasaan maritim, disamping mensasarkan penambahan aset udara dan permukaan dan juga penambahbaikan kepada sistem pengawasan laut.

c) Fasa 3 (‪2016-2020‬) – fasa ini meneruskan perolehan, penggantian dan program memanjang jangka hayat (SLEP) aset dan juga penambahbaikan terhadap sistem pengawasan dan perhubungan bagi memperkasakan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat. Di samping meneruskan pembinaan prasarana, ibu pejabat wilayah, pangkalan maritim dan stesen udara. Menjelang akhir fasa ini Maritim Malaysia mensasarkan hampir 90 peratus aset termasuk kelengkapan dan 100 peratus keperluan sumber manusia dapat dipenuhi.

d) Fasa 4 (‪2020-2025‬) – fasa ini melibatkan perolehan pesawat udara Maritime Patrol Aircraft (MPA), SLEP kepada kapal-kapal yang menjangkau 20 tahun, pembinaan pangkalan maritim yang tidak dapat dilaksanakan semasa RMK 10/11 dan melaksanakan penambahbaikan peranti sistem SWASLA dan C4ISR sesuai dengan teknologi semasa.

e) Fasa 5, 6 & 7 (Tahun ‪2026-2030‬, ‪2031-2035‬, ‪2036-2040‬) – Fasa ini selari dengan pembangunan RMK 13, 14 dan 15 dengan meneruskan program-program perolehan penggantian dan penambahan aset, penambahbaikan sistem dan SLEP bagi mengekalkan keupayaan angkatan Maritim Malaysia seperti yang dihasratkan bagi merealisasikan visi dan misi 2040 APMM.

Dalam tempoh ini juga Maritim Malaysia dijangka dapat mengekalkan sebanyak 116 kapal ronda iaitu 96 buah bersaiz sederhana dan 20 buah bersaiz besar. 228 bot saiz 20 meter ke bawah (95 bot pemintas, 133 RHIB/RIB) dan sebanyak 15 buah helikopter, 12 buah pesawat kepak kaku, sistem pengawasan perairan yang meliputi seluruh perairan negara yang juga merangkumi teknologi penggunaan satelit, sistem C4ISR yang lengkap berteraskan teknologi satelit. 34 unit stesen udara, pangkalan Maritim Malaysia yang dilengkapi dengan kemudahan dan insfrastruktur terkini. Kekuatan sumber manusia untuk mengoperasikan aset-aset Maritim Malaysia ialah dijangka berjumlah 9,414 orang menjelang tahun 2040, menghampiri jumlah keanggotaan TLDM. (Rujuk: Blog Minda Pertahanan) .

Perkembangan di kawasan tuntutan bertindih

Pada tahun 2019 tentera laut China (PLAN-People’s Liberation Army-Navy) mempunyai 335 buah kapal perang (bersaiz korvet atau lebih besar) berbanding 296 buah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (USN – US Navy) dan 75 buah kapal Royal Navy (UK) (Link: https://chinapower.csis.org/china-naval-modernization/). Berdasarkan keupayaan mereka, China telah mentauliahkan 18 kapal perang baru pada tahun 2016 dan 14 buah lagi pada tahun 2017, manakala Amerika Syarikat hanya mentauliahkan 5 kapal perang pada 2016 dan 8 buah kapal perang pada tahun berikutnya. Jika China terus mengeluarkan kapal-kapal perang baru mengikut kadar ini, menjelang tahun 2030, mereka akan mempunyai 425 buah kapal perang (bersaiz korvet dan lebih besar). Menurut laporan RAND Corporation pada tahun 2017, sebanyak 70% kapal-kapal perang PLAN adalah moden. Industri perkapalan China pula telah berjaya mengatasi Korea Selatan pada tahun 2018 dengan menguasai 43.9% tempahan pembuatan kapal dunia.

Dua buah kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard – USCG) iaitu USCGC Bertholf dan USCGC Stratton telah ditumpangkan ke Armada ke-7 Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) yang berpengkalan di Yokosuka, Jepun menurut laporan South China Morning Post pada 11 Jun 2019 (rujuk: https://www.scmp.com/news/china/diplomacy/article/3014006/coastguard-here-help-says-us-south-china-sea-nations). Ia adalah tindakbalas kepada tuntutan dan provokasi China di Laut China Selatan dan juga penggunaan kapal-kapal penguatkuasa maritim awam sebagai jawapan kepada “Small Stick Diplomacy” oleh China. Laksamana Madya USCG Linda Fagan berkata kehadiran kapal-kapal tersebut akan membantu negara-negara sahabat melindungi kedaulatan wilayah mereka selain dapat membantu penguatkuasaan terhadap hal-ehwal perikanan. USCG Bertholf telah mengadakan latihan bersama dengan dua buah kapal PCG (Pengawal Pantai Filipina) di Beting Scarborough pada 14 May 2019. Kali terakhir kapal USCG melawat Filipina adalah tujuh tahun lalu. Alexander Huang, profesor kajian strategik di Universiti Tamkang, Taiwan berpendapat kehadiran kapal USCG adalah sesuai dalam konflik intensiti rendah dan juga bersesuaian untuk berhadapan dengan nelayan atau pasukan militia laut dari China.

Kesimpulan

Mengambilkira perkembangan diatas dan juga perkembangan dan pemodenan Philippines Coast Guard (PCG – Pengawal Pantai Filipina) serta Badan Keamanan Laut (BAKAMLA, Indonesia) yang melakukan perolehan-perolehan kapal-kapal baru, maka sewajarnya kerajaan Malaysia memberikan tumpuan khas untuk memperkasakan Maritim Malaysia sejajar dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 bagi membolehkan kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam mempertahankan kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

Artikel oleh ADUKA KURSANI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here