
CYBERJAYA – Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi diminta memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau berhadapan dengan tindakan saman berhubung satu kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook, hari ini.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, fitnah yang dilemparkan oleh beliau bahawa perintah kuarantin tiga hari kepada menteri yang pulang dari luar negara disebabkan keengganan Perdana Menteri menjalani kuarantin adalah berniat jahat.
“Perdana Menteri telah diserahkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada 5 Februari lalu.
“Beliau ketika ini sedang menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hantaran bertajuk kuarantin pun ada dua darjat, Puad mendakwa berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Subang selepas rombongan Perdana Menteri tiba dari Indonesia.
Malah, Puad mendakwa rombongan tersebut tidak mahu dikuarantin selama 10 hari.-MT