Minyak masak bersubsidi jadi minyak sembahyang

0
100
Minyak masak yang dirampas oleh KPDNHEP Cawangan Kulim

CYBERJAYA – Minyak bersubsidi diproses menjadi minyak sembahyang, itu kegiatan sebuah premis yang berjaya dibongkarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Premis yang beroperasi di Taman Emas di Kulim, Kedah itu diserbu oleh lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kulim pada pukul 10.30 pagi tadi risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kulim, Mohd. Fazly Edros berkata, pemeriksaan pihaknya di premis itu mendapati wujud aktiviti membungkus semula minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak sembahyang. 

“Minyak masak itu dibotolkan dengan kapasiti 750 mililiter (ml) dan dijual semula dengan harga RM3 sebotol. Untuk makluman, minyak masak bersubsidi dikawal pada harga RM2.50 sepeket dengan berat satu kilogram (kg).

“Kami menahan seorang lelaki berumur 63 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan itu untuk siasatan lanjut.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fazly, berdasarkan keterangan lelaki itu, aktiviti pemprosesan minyak masak untuk sembahyang dijalankan di kediaman sendiri sejak 2019 menggunakan minyak masak industri. 

“Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hanya mampu membeli minyak peket sekilogram dan diproses menjadi minyak sembahyang untuk dijual kepada peniaga sekitar Kulim,” ujarnya.

“Peniaga itu juga mendakwa sepeket minyak masak bersubsidi boleh mengeluarkan sebanyak dua botol minyak sembahyang.

“Siasatan awal mendapati perniagaan itu mempunyai lesen untuk berurus niaga minyak masak secara runcit dengan kuota penyimpanan sebanyak 1,000 kg pada satu masa. 

“Bagaimanapun, perniagaan ini tidak memiliki kebenaran untuk membungkus semula barang kawalan minyak masak,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengambil tindakan dengan menyita beberapa barangan antaranya 98 botol minyak sembahyang, 100 kg minyak masak peket, 182 bungkusan plastik minyak masak dan satu tangki simpanan minyak yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM773.40.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” tambahnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here