Muhyiddin suntik semangat berjuang melawan kanser

0
75
Hantaran Muhyiddin sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi harapan kepada pengidap kanser untuk terus berjuang kerana peluang untuk sembuh itu tetap ada.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata, selaku bekas pesakit kanser, beliau memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit itu.

“Alhamdulilah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih.

“Apa jua penyakit, insya-ALLAH boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul,” katanya hari ini sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari.

Apa yang penting katanya adalah untuk terus menguatkan semangat dan berjuang menghadapi penyakit itu.

“Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya. Kuatkan semangat, anda bukan menghadapinya seorang diri.

“Ramai pesakit kronik termasuk kanser yang saya kenali, berjaya melawan penyakit ini dan kini menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya segera menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser.

“Selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh,’’katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kanser dikesan lewat, orang ramai perlu menjalani ujian saringan kesihatan secara berkala.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangannya selepas kes kanser tahap tiga dan empat yang dikesan lewat merekodkan peningkatan.

Berdasarkan data, keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat pada tahun 2012 hingga 2016 adalah 63.7 peratus meningkat berbanding tahun 2001 hingga 2011 iaitu 58.7 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here