MySejahtera terima lebih 600,000 daftar vaksinasi

0
65

KUALA LUMPUR – Aplikasi MySejahtera sehingga kini menerima sebanyak 637,000 pendaftaran individu untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai perlindungan daripada jangkitan wabak itu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Mahesh Appannan berkata, angka berkenaan adalah jumlah terkumpul sehingga pukul 9 malam tadi dan dijangka lebih ramai yang akan mendaftar dari semasa ke semasa.

“Aplikasi MySejahtera sekarang mempunyai hampir 21 juta pengguna unik dan mereka semua aktif, setiap hari kita dapat hampir 18 hingga 20 juta check-in. Itu menunjukkan banyak interaksi dan penggunaan MySejahtera dalam kalangan rakyat.

“Buat masa ini kita memang tidak mewajibkan penggunaan MySejahtera tetapi menggalakkan rakyat Malaysia untuk menggunakannya,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Vaksin Covid-19: Selamat dan Berkesan?’ hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini aplikasi berkenaan dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai Covid-19 termasuk program vaksinasi.

Petang semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program pendaftaran vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 sebagai usaha kerajaan membendung penularan wabak berkenaan.

Pada Ahad lalu, Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here