
CYBERJAYA- Seorang ibu tunggal, Koh Kim Keok di Kota Bharu, Kelantan menyambut Tahun Baru Cina pada tahun ini dengan penuh keceriaan pada tahun ini.
Semalam, Kim Keok menerima jadiah berupa sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah tablet dan juga sedikit duit belanja daripada pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.
Dalam perkongsian di laman Facebook, Ebit juga memaklumkan beliau akan membayarkan sewa rumah yang didiami Kim Keok pada setiap bulan.

“Masa sampai tadi kakak ini menangis. Saya dapat maklumat yang keluarga ini susah dan sudah lama tiada makan besar dan tiada sambutan Tahun Baharu Cina.
“Walaupun dia berbangsa Cina dan bukan beragama Islam, tapi dia kenal saya. Katanya selalu berdoa hendak jumpa saya. Hari ini tiba-tiba ada depan mata,” jelas Ebit.
Difahamkan, ibu tunggal berkenaan telah kehilangan suaminya dan membesarkan anak-anak yang ramai sendiri.
“Selepas kematian suami, kakak ini besarkan anak yang ramai seorang diri dengan kerja kedai kopitiam. Masa PKP, gaji sehari RM20 sebelum ini RM30.

“Sebulan dapat RM600. Salah seorang anaknya telah memeluk agama Islam sudah lama tetapi mereka hidup dengan penuh kasih sayang.
“Anak perempuan berhenti belajar bidang kejururawatan kerana tiada duit untuk bayar yuran RM800. Sedih pula dengar.
“Tiada kenderaan untuk hantar anak sekolah. Dulu ada kereta lama tetapi sudah jual sebagai besi buruk. Saya terus ajak beli kereta. Terus dapat tadi. Kereta Myvi. Menangis kakak gembira sangat,” katanya.
Selain itu, Ebit juga mencadangkan anak Kim Keok untuk sambung belajar semula dan akan menanggung yuran penggajiannya.
Pada masa sama, Ebit mengucapkan terima kasih kepada pihak yang turut memberikan bentuk bantuan bagi menjalankan misi bantuannya itu dan menitipkan pesanan kepada semua yang menyambut Tahun Baharu Cina agar meraikannya dengan serba sederhana namun bermakna.
“Terima kasih JKM ada beri duit bulanan. Terima kasih YB dan Menteri. Terima kasih zakat. Terima kasih Penghulu dan ketua kampung.
“Terima kasih jiran dan masyarakat setempat. Terima kasih NGO tempatan. Terima kasih Media yang maklumkan pada saya. Terima kasih semua.
“Semoga menjadi asbab kebaikan. Happy Chinese New Year. Selamat makan besar semua,” tambahnya.