
SETAPAK – Malakat Mall menerima tawaran daripada syarikat stesen minyak terkemuka dunia untuk membuka rangkaian kedai milik pusat beli belah itu di stesen minyak.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, tawaran berkenaan melibatkan pembukaan Malakat Express, serta beberapa lagi rangkaian kedai milik Malakat Mall.
Mohd. Fadzil berkata, beliau menjangkakan, segala perjanjian dalam tawaran berkenaan akan dapat diputuskan dalam masa sebulan lagi.
“Satu jenama stesen minyak besar menawarkan kita untuk buka pelbagai kedai di cawangan stesen minyak mereka. Nama stesen itu saya tidak boleh nyatakan lagi.
“Mereka tawarkan kepada kita untuk buka di 20 stesen minyak, tawaran melibatkan Malakat Express dengan beberapa jenama lain seperti Tea Amo, DIY Malaya dan Malakat Grocer.
“Dalam masa sebulan, Insya-Allah akan dapat dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune pada Majlis Pembukaan Malakat Express Setapak hari ini.

Selain itu katanya, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa perniagaan dapat dimajukan seperti grocer atau kedai seperti Malakat Express.
“Selain itu stesen minyak juga sama. Jadi, kerjasama kami dengan stesen minyak nanti dilihat mampu membuahkan hasil dan saya percaya formula ini akan berjaya,” katanya.
Mengulas mengenai operasi Malakat Mall ketika PKP, Mohd. Fadzil berkata, pusat beli belah itu memang terkesan ekoran PKP namun, ianya dapat diatasi.
“Kami ada pasukan yang kuat, Alhamdulillah semua pejuang dan ahli kita menyokong dan tidak putus berdoa. Allah juga buka peluang yang terbaik kita,” katanya.