Pandangan negatif Dr Mahathir terhadap penerapan Pendidikan Islam di sekolah sangat berbahaya, boleh pengaruhi orang lain

0
309


CYBERJAYA – Pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penekanan Pendidikan Islam yang diajar di sekolah punca bukan Islam tidak mahu anaka mereka memasuki sekolah kebangsaan adalah sangat berbahaya. 

PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim, pandangan tersebut sangat berbahaya kerana ia boleh mempengaruhi golongan bukan Islam untuk menolak sekolah kebangsaan dan Pendidikan Islam yang diajar di sana. 

“Tun kata mengajar agama yang salah. Apa yang salah? Kalau mengajar agama di sekolah, ia tak bincang pun politik. Ia cuma bincang apa itu akidah, ibadah, sirah, akhlak dan muamalah. 

“Itu yang asas yang diajar di sekolah. Saya ini antara produk Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di zaman Tun sendiri yang banyak belajar agama di sekolah. Sebenarnya kita beruntung negara kita belajar agama dari tadika hingga ke sekolah menengah.

“Jika dibandingkan dengan negara Indonesia, di Brainy Bunch Indonesia, dalam 10 calon guru tadika, nak dapat seorang yang pandai baca al-Quran pun payah kalau mereka tak datang dari sekolah madrasah. Kalau mereka pergi ke sekolah awam, kebanyakan mereka tak boleh baca al-Quran. Adakah ini yang Tun mahu?,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Pendidikan Islam menjadi punca bukan Melayu tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, walaupun bukan lagi memegang jawatan utama dalam negara, pandangan Dr Mahathir tetap dapat mempengaruhi orang lain sebagai seorang ‘influencer’. 

Dr. Mahathir Mohamad mendakwa penerapan Pendidikan Islam di sekolah punca bukan Islam menjauhi sekolah kebangsaan

“Bila Tun mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan betapa ceteknya pemikiran tentang pendidikan Islam ini, ia boleh mengakibatkan kawan-kawan bukan Islam pandang serong dan rendah kepada kita.

“Sedangkan ini bukan hakikatnya. Saya ramai kawan-kawan bukan Islam yang tak tahu hal ini tetapi bila diberitahu oleh orang yang dipandang tinggi, mereka akan terima bulat-bulat pandangan ini. Ia akan menjadikan majikan-majikan bukan Islam yang membaca artikel Tun akan mengiyakannya dan pandang rendah kepada orang Islam,” ujarnya. 

Sementara itu, Coach Fadzil yang juga Pengasas Malakat Mall berharap dapat bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan isu berkenaan. 
“Kalau ada penasihat yang boleh bawa saya jumpa Tun, kita muzakarah.

“Saya bukan siapa-siapa tapi dalam pendidikan, saya di antara orang yang berusaha dengan rakan-rakan yang lain untuk mengetengahkan kepentingan Pendidikan Islam.

Walaupun kita dalam sektor swasta, tapi kita tak nafikan apa yang betul dibuat kerajaan. Cuma kerajaan ada kekangannya, sebab sumber dan sebagainya. Sebab ini tak bolehlah kata Pendidkan Islam ini buat kita mundur,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here