
CYBERJAYA – Tujuh pekerja syarikat penghantaran barang, J&T Express Perak membuat permohonan maaf selepas tular video mereka melempar barangan pelanggan di salah satu gudang mereka,semalam.
Menurut salah seorang pekerja yang terlibat dalam kejadian itu berkata, mereka memohon maaf dan menjelaskan tiada isu dalaman atau potongan gaji antara syarikat sehingga menyebabkan insiden berkenaan berlaku.
“Kebelakangan ini tular satu video di media sosial tentang pekerja tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan mencampak barang pelanggan.
“Kami ingin memohon maaf dan menjelaskan bahawa tiada isu dalaman atau potongan gaji antara syarikat dan pekerja J&T Express Perak,” katanya dalam satu video berdurasi 57 saat yang dimuat naik melalui Facebook J&T Express Malaysia–Perak, sebentar tadi.
Dalam pada itu, pekerja tersebut turut menafikan mereka melakukan tindakan mogok seperti dakwaan yang tular.
“Kami sekali lagi ingin memohon maaf kerana menjejaskan nama pihak syarikat dan menjejaskan barang-barang rakyat Malaysia.
“Kami sedaya-upaya akan hantar barangan pelanggan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, J&T Express Malaysia Perak memohon maaf atas sikap pekerja mereka dalam mengagihkan bungkusan dengan ganas dan tidak menyenangkan.
“Para pekerja J&T Express Perak ingin meminta maaf atas perangai pekerja dalam mengagihkan bungkusan dengan secara ganas dan sebarang keadaan yang tidak menyenangkan.
“Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, J&T Express ingin menafikan terdapat pekerja yang mogok dan terdapat pemotingan komisen.
“Segala perkara yang berlaku adalah satu salah faham semata-mata. Sekali lagi, J&T Express ingin meminta maaf atas kejadian yang tidak diingini.
“Pihak J&T Express akan sedaya upaya meningkatkan mutu perkhidmatan kami,” katanya.-MT