Pelanggan tetap jadi punca rezeki

0
344
Shah Iskandar Mohamed Yatim menunjukkan sebahagian daripada menu yang ditawarkan kepada pelanggan.

BUKIT MERTAJAM – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan jumlah pendapatan berkurang sehingga lebih 50 peratus tidak dijadikan alasan untuk terus berserah kepada takdir.

Bagi pengusaha restoran masakan Timur Tengah, Qasar Hadramawt Perda di sini, Shah Iskandar Mohamed Yatim, larangan untuk orang ramai makan di premis bukan sesuatu yang boleh ‘dibiarkan’ begitu sahaja.

Walaupun sudah bertapak lebih daripada 10 tahun, beliau sedar kesan daripada pelaksanaan PKP kali kedua yang berkuatkuasa sejak 13 Januari lalu itu akan tetap memberi impak kepada perniagaannya.

Menyedari perkara itu, Shah Iskandar menggunakan ‘kesempatan’ waktu legang sepanjang tempoh PKP untuk memperkasakan aspek pemasaran melalui platform media sosial.

Beliau berkata, selepas menyedari kesan daripada PKP yang lalu, beliau mula mengatur langkah dengan menyediakan bahan-bahan promosi seperti gambar dan video untuk disebar di media sosial.

“PKP memberi peluang kepada kami untuk membuat lebih banyak promosi supaya orang lebih mengenali jenis Qasar Hadramawt Perda.

“Alhamdulillah kesan daripada usaha itu, kami masih dapat bertahan pada ketika ini terutama dengan sokongan pelanggan-pelanggan tetap,” katanya kepada Malakat Tribune ketika dihubungi hari ini.

Kaedah pembakaran ayam dan daging di Qasar Hadramawt Perda, Bukit Mertajam.

Kini katanya, kesan daripada promosi yang dilakukan mula membuahkan hasil apabila khidmat penghantaran makanan melalui FoodPanda semakin mendapat sambutan.

“Seperti sebelum ini, kami masih lagi menawarkan menu-menu terbaik masakan tradisional Yaman seperti Mandy, Kabshah, Madgout, kebab, hummus dan sebagainya,” katanya.

Bahkan katanya, melalui penghantaran yang disediakan, pelanggan ditawarkan pengurangan harga sehingga 15 hingga 20 peratus bagi semua menu.

“Walaupun makanan tidak lagi disajikan di meja makan, kami tetap menjaga kualiti makanan dengan harapan pelanggan berpuas hati menikmatinya,” katanya yang menawarkan kira-kira 12 menu utama.

“Waktu tempahan bermula dari pukul 11 pagi sehingga 9 malam,” ujar beliau yang beroperasi di Lot No 9 Plaza De’Randezvous, Bandar Perda.

Beliau berkata, sambutan tempahan makanan menggunakan khidmat penghantaran masih baik kerana tidak mempunyai banyak saingan restoran makanan Arab di kawasan itu.

Qasar Hadramawt yang dibarisi cef-cef dari negara Yaman dikenali dengan hidangan nasi Arab yang dimasak secara tradisional di dalam Tanoor, sejenis dapur yang seakan-akan dapur roti tempayan.

Keenakan menu utama menonjol dengan kekuatan rasa rempah, daging yang lembuh, pelbagai jenis air buah-buahan dan air teh Adeni.

Sementara itu, Shah Iskandar berharap kerajaan dapat memendekkan tempoh pelaksanaan PKP selepas penularan wabak Covid-19 terkawal untuk membolehkan sektor ekonomi bernyawa semula.

“Kami dalam sektor makanan memang terjejas teruk sehingga terpaksa mengurangkan separuh daripada jumlah kakitangan sepanjang tempoh ini,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 04-5372673 atau layari laman Facebook Restaurant Qasar Hadramawt Perda.

Kakitangan Qasar Hadramawt.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here