
CYBERJAYA – Kerajaan akan memberikan bantuan secara one off sebanyak RM500 kepada pemandu e-hailing, teksi, bas sekolah dan bas persiaran di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bantuan itu diberikan dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari lalu.
Katanya, bantuan itu adalah sebahagian daripada 22 inisiatif PERMAI yang diperkenalkan untuk melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat semasa berlakunya wabak Covid-19.
“Untuk mempercepatkan proses pembayaran, pemandu yang telah menerima bantuan PRIHATIN 2020 sebelum ini akan dikecualikan daripada melalui proses permohonan bagi menerima bantuan PERMAI 2021 dan hanya saringan lesen sahaja yang perlu dibuat.
“Bantuan tunai PERMAI ini akan memanfaatkan kepada 118,000 pemandu yang telah diluluskan dan mereka yang masih belum membuat permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata, bagi semua pemandu teksi dan kereta sewa yang telah menepati syarat kelayakan bantuan PRIHATIN sebelum ini, akan diberi kelulusan secara automatik tanpa melalui saringan kriteria kelayakan sekali lagi untuk menerima bantuan PERMAI.

Pada masa sama, katanya, bagi semua pemandu bas persiaran yang telah menepati syarat kelayakan bantuan PRIHATIN sebelum ini juga tidak perlu disaring untuk caruman PERKESO sekali lagi dan hanya saringan lesen memandu yang sah sahaja akan dibuat.
“Bagi semua pemandu bas sekolah yang telah menepati syarat kelayakan bantuan PRIHATIN sebelum ini juga tidak perlu didaftarkan semula oleh syarikat masing-masing dan hanya saringan lesen vokasional, PSV yang sah sahaja akan dibuat.
“Untuk pemandu e-hailing pula, syarat pendapatan yang ditetapkan iaitu minimum RM1,200 bagi mendapatkan bantuan PRIHATIN sebelum ini dikurangkan kepada minimum RM700 di bawah PERMAI untuk bulan Oktober 2020, November 2020 atau Disember 2020,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan Malaysia menggesa kepada semua pemohon baharu supaya memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sesuai dengan kriteria yang ditetapkan untuk memastikan pemprosesan dan pengagihan bantuan tunai mereka tidak lagi tertangguh.-MT