PEMBELA kecam campur tangan negara asing dalam isu penghakiman kes saman Malaysiakini

0
229
Kenyataan akhbar oleh Kedutaan Amerika di Malaysia yang mengecam keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Malaysiakini

CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat, Pesuruhjaya Tinggi Britain dan Kanada dalam kes mahkamah yang memutuskan Malaysiakini perlu membayar saman sebanyak RM500,000 sebagai satu tindakan biadab.

Malah menurut Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya, campur tangan itu juga dilihat mencabar kedaulatan negara Malaysia dari pelbagai aspek yang perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, seharusnya mana-mana pihak menghormati prinsip kebebasan kehakiman terutamanya kerajaan negara-negara luar yang sepatutnya memahami perkara ini.

“PEMBELA mempersoal di manakah suara-suara pihak luar ini dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan media lain di Malaysia?

“Kenapa mereka membisu tetapi melatah apabila melibatkan Malaysiakini? Sikap dwistandard ini menyebabkan integriti mereka ini boleh dipersoalkan. Oleh itu, PEMBELA ingin mempersoal adakah wujudnya kepentingan tertentu oleh kerajaan-kerajaan negara ini terhadap Malaysiakini secara khusus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam portal berita itu diarahkan membayar RM500,000 oleh mahkamah kerana menyiar komen pembaca yang menyerang badan kehakiman.

Aminuddin berkata, pihaknya juga mengingatkan semua pihak bahawa walaupun Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara, tetapi ia tidak mutlak.

Katanya, dalam Perkara 2(a) jelas memperuntukkan sekatan terhadap sebarang penghinaan mahkamah manakala Perkara 10(4) pula memperuntukkan kebebasan bersuara hanya setakat perkara-perkara yang tidak menyentuh kepada isu-isu sensitif.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here