Pengasas Sugarbook mengaku tidak bersalah

0
148
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Pengasas aplikasi sosial, Sugarbook didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan menyiarkan kenyataan bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby University In Malaysia’ yang mengakibatkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Tertuduh, Chan Eu Boon, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena [email protected], memetik laporan Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang juga usahawan teknologi maklumat (IT) didakwa menyiarkan kenyataan berkenaan di laman web https://technave.com, pada jam 10 pagi, 10 Februari lalu.

Kenyataan itu kemudian dilihat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada jam 6.26 petang, hari sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin menawarkan ikat jamin RM100,000 kerana ia kesalahan serius susulan keterangan dimuat naik tertuduh boleh menyebabkan ramai rakyat terpengaruh dengan aplikasi itu.

Bagaimanapun, peguam Eu Boon, T Shashi Devan, memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tiada potensi untuk melarikan diri.

“Tertuduh masih bujang dan berhasrat untuk berkahwin tetapi ditangguhkan kerana keadaan negara (kes penularan COVID-19). Teman wanitanya akan menjamin tertuduh,” katanya.

Selain Shashi Devan, tertuduh turut diwakili peguam Pauling Hee.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 26 Mac depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here