
CYBERJAYA – Sempena promosi hujung minggu, Malakat Sudah Giler! Malakat Mall di sini, pengunjung pusat beli-belah itu ‘dibelanja kaw-kaw’ dengan pelbagai promosi dan tawaran harga.
Sejak semalam, kempen berbelanja pada harga terendah itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai yang tidak melepaskan peluang keluar berbelanja pada hari minggu.
Melalui promosi terbaharu itu, Malakat Mall menawarkan lima promosi utama kepada pelanggan selain tawaran Happy Hour dengan potongan harga sehingga 50 peratus.
Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Salam Zulkarnain berkata, promosi hujung minggu yang berlangsung sehingga hujung bulan ini adalah tawaran separuh ekor ayam segar berharga RM4.99, gula kasar (RM1.50), potongan separuh harga untuk minuman Tea Amo dan pemberian ‘beli satu percuma satu’ di Red Hots dan sanitasi kenderaan pada harga RM25.


Selain itu katanya, bagi promosi Happy Hour yang diadakan 3 kali sehari, pihak Malakat Grocer menawarkan pelbagai produk makanan dan sejuk beku pada harga separuh daripada harga asal.
“Happy Hour yang berlangsung selama sejam ini memang antara yang ditunggu-tunggu oleh pelanggan.
“Bayangkan satu paket dim sum berharga RM20 dijual pada harga RM10. Musim kosong peti sejuk kita. Kita juga buat promosi untuk bekalan tulang dan gear box,’’ katanya.

Salam berkata, promosi pada hujung minggu seumpama itu akan diteruskan dan akan sentiasa ditambah baik untuk memberi pengalaman membeli-belah yang lebih bernilai kepada pelanggan.
Sementara itu tambah beliau, Malakat Mall masih menawarkan lot tanah di Projek Muslim Village di Serendah bagi pelanggan yang mahu menyertai program itu dengan berbelanja sebanyak RM300 sebulan selama 5 tahun di Malakat Grocer.
“Dalam usaha menjayakan ekosistem ekonomi Islam ini kita mahu pelanggan ‘memindahkan’ perbelanjaan rumah sebanyak kira-kira RM300 ke Malakat Mall setiap bulan.
“Dalam jangka masa panjang, mereka berpeluang menikmati pulangan daripada perbelanjaan mereka di Malakat Mall,’’ katanya.
Tidak cukup dengan itu katanya, pihak Malakat Mall juga melanjutkan tempoh meletak kenderaan secara percuma kepada pengunjung daripada 2 jam kepada 4 jam. -MT