Pengusaha pawagam rayu kebenaran operasi

0
28
Penutupan operasi pawagam menyebabkan industri itu kerugian lebih 500 juta pada tahun lalu.

CYBERJAYA – Impak besar yang dihadapi industri pawagam akibat Covid-19 menyebabkan pengusaha pusat hiburan itu berdepan kemungkinan gulung tikar jika tidak dibenarkan beroperasi semula.

Sehubungan itu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dalam satu kenyataan merayu kerajaan membenarkan semula operasi pawagam di seluruh negara seperti premis perniagaan lain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MAFE berkata, penutupan panggung wayang sejak penularan Covid-19 pada awal tahun lalu menyebabkan pengusaha mengalami kerugian yang cukup besar dan sebahagian daripada mereka sudah menutup perniagaan itu.

Katanya, mereka telah kehilangan 90 peratus daripada pendapatan tahun ke tahun, dengan kerugian lebih RM500 juta pada tahun 2020 sahaja.

“Penutupan secara paksa telah mempengaruhi industri sehingga mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang tidak terhitung jumlahnya,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Selain itu juga katanya, kemerosotan industri tayangan filem itu juga memberi kesan yang besar kepada perkembangan industri perfileman negara yang melibatkan kira-kira 20,000 pekerja di negara ini.

Justeru, Pengerusi MAFE, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth berkata, industri pawagam tidak akan dapat bertahan lama dan ia pasti akan runtuh sekiranya sekatan tidak dilonggarkan.

“Kami berharap kerajaan mempertimbangkan kembali keputusannya secara serius dan memungkinkan kami untuk beroperasi semula dengan amalan pematuhan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here