Perdagangan borong, runcit negara merosot pada 2020

0
107
Dr Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Aktiviti perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan pertumbuhan terendah dalam sejarah dengan penyusutan sebanyak 5.9 peratus menurut Laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Jabatan Perangkaan Malaysia bagi Disember 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sepanjang bulan tersebut, kedua-dua sektor itu menurun sebanyak 0.3 peratus menjadi RM115.5 bilion.

Manakala sektor perdagangan runcit menguncup 2 peratus kepada RM46.8 bilion pada Disember 2020 dan perdagangan borong susut sebanyak 0.6 peratus kepada RM55.3 bilion.

Bagaimanapun dalam sektor kenderaan bermotor, pertumbuhan positif direkodkan dengan kenaikan 7.4 peratus menjadi RM13.4 bilion,katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan negatif perdagangan runcit pada Disember 2020 disebabkan penurunan jualan produk bukan keperluan iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (-6.4 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (-4.1 peratus), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (-4.9 peratus) dan jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (-0.9 peratus).

Namun katanya, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan iaitu jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan 2.1 peratus kepada RM16.9 bilion tahun ke tahun, diikuti jualan runcit makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 6.4 peratus kepada RM2.9 bilion.

Jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar turut berkembang 9.8 peratus kepada RM0.4 bilion diikuti jualan runcit di gerai dan pasar yang naik 7.3 peratus kepada RM0.1 bilion.

Mengenai perdagangan borong, Mohd Uzir berkata, penurunan 0.6 peratus tahun ke tahun pada Disember 2020 adalah disebabkan oleh penurunan lain-lain pengkhususan jualan borong dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran yang merosot masing-masing -6.4 peratus.

Bagaimanapun, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 5.1 peratus kepada RM10.7 bilion manakala jualan borong barangan isi rumah naik 3.9 peratus kepada RM11.2 bilion.

Begitu juga, jualan borong jentera, peralatan dan bekalan juga berkembang 3.2 peratus tahun ke tahun pada Disember 2020 yang menjana jualan sebanyak RM4.8 bilion, katanya.

Sementara itu, jualan kenderaan bermotor memacu pertumbuhan dalam subsektor kenderaan bermotor merekodkan peningkatan dua digit 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM7.5 bilion.

Ini diikuti penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.1 bilion, meningkat 6.9 peratus.

Sebaliknya, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor menguncup 3.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya untuk merekodkan RM1.6 bilion.

Jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor juga merosot 2.6 peratus kepada RM3.2 bilion.

Mohd Uzir berkata, bagi bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 4.6 peratus pada Disember 2020 berbanding November 2020 selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditarik balik, kecuali di negeri dan daerah tertentu berikutan peningkatan kes harian Covid-19.

Beliau berkata pertumbuhan bulan ke bulan itu disumbang peningkatan 4.8 peratus atau RM2.5 bilion dalam perdagangan borong serta perdagangan runcit yang masing-masing berkembang sebanyak RM2.0 bilion atau 4.5 peratus, diikuti kenderaan bermotor yang meningkat RM0.6 bilion atau 4.4 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here