Perlu faham beza antara sedekah dan zakat

0
83
Kutipan zakat PPZ-MAIWP pada tahun 2020 adalah sebanyak RM756 juta

CYBERJAYA – Orang ramai perlu memahami perbezaan antara sedekah dan zakat bagi mengelak timbulnya salah faham serta polemik.

Masyarakat perlu faham bahawa sedekah boleh diuruskan dan dilaksanakan sesiapa sahaja sama ada individu atau berkumpulan.

Manakala zakat, boleh diuruskan oleh sebuah institusi di bawah seliaan dan pantauan Majlis Agama Islam Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wliyah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff berkata, terdapat perbezaan dari segi pengurusan dana sedekah dan zakat secara individu atau organisasi.

Beliau berkata, data yang dicatatkan pihak PPZ sepanjang tahun lalu menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia sangat memberi kerjasama dalam usaha membantu golongan asnaf.

“Kutipan pada tahun 2020 adalah sebanyak RM756 juta iaitu meningkat sebanyak 11 peratus bagi jumlah kutipan dan 79 peratus bagi bilangan pembayar zakat.

“PPZ menerima sokongan yang cukup hebat tidak kira samada individu mahupun sesebuah organisasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Shukri, walaupun negara kini dilanda pandemik Covid-19, golongan pembayar zakat tidak putus asa membantu dan sehingga Disember tahun lepas sejumlah 30 skim bantuan telah dilancarkan.

“Dari Januari sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 30 skim oleh MAIWP telah dijalankan dengan peruntukan RM412,271,213 kepada 198,227 penerima di seluruh negara dan bukan hanya di kawasan Wilayah Persekutuan sahaja.

“Masyarakat perlu faham, badan bukan kerajaan (NGO) hanya akan memberikan bantuan secara one-off sahaja namun melalui institusi zakat seperti PPZ, bantuan akan diberikan secara bulanan mengikut keutamaan golongan yang memerlukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here