Permohonan BPR dilanjutkan sehingga 25 Februari ini

0
148
Datuk Seri Tengku Zafrul

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan melanjutkan permohonan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga 25 Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah itu diambil bagi memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak, serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara pada ketika ini. 

“Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40 serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu. 

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19. 

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu atau kemaskini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu/kemaskini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat. 

Katanya, pembayaran fasa pertama BPR kepada mereka akan dipercepatkan kepada penghujung bulan ini, seperti yang diumumkan di dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari yang lepas.

Beliau berkata, bagi pembayaran fasa kedua pula akan dilakukan pada awal bulan Mei ini.

“Tempoh masa diperlukan untuk memproses permohonan yang diterima terutamanya permohonan baharu. Setakat ini, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem. 

‘Selain itu, proses semak silang ini juga melibatkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, LHDN dan sebagainya untuk memastikan mereka yang benar-benar layak diluluskan BPR. 

“Pemohon BPR boleh merujuk soalan lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu, https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here