PKP 2.0 : Kumulatif kes harian dan kes rentas negeri turun

0
111
Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Jumlah kes harian sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan penurunan ketara iaitu 2,764 kes yang direkodkan semalam berbanding 5,728 kes pada 30 Januari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata, keberkesanan PKP 2.0 juga terbukti melalui penurunan mendadak kes rentas negeri ekoran sekatan pergerakan antara daerah dan negeri.

“Negara merekodkan sebanyak 2,764 kes baharu semalam dengan kesembuhan 3,887 kes.

“Ini adalah satu penurunan yang jelas jika dibandingkan dengan 5,728 kes harian tertinggi pada 30 Januari lalu dengan 3,805 kes sembuh,” katanya.

Bagi jumlah kes melibatkan rentas negeri katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 31 kluster rentas negeri antara 7 Disember 2020 hingga 8 Februari lalu sebelum berkurangan kepada tiada kes semalam.

“Ini adalah perkembangan yang sangat baik sebagai menggambarkan keberkesanan penguatkuasaan lebih ketat yang dilaksanakan dalam PKP sejak 4 Februari lalu.

Tambahnya, perkembangan itu juga menunjukkan peningkatan kesedaran di kalangan pelbagai pihak dan keberkesanan pematuhan untuk tidak merentas sempadan di samping mengamalkan normal baharu yang diulangi dalam nasihat KKM.

Sehubungan itu, KKM menyeru seluruh peringkat masyarakat tanpa mengira sesiapa untuk terus bersama-sama mematuhi PKP dan mengamalkan normal baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here