PKP: Kerajaan benarkan lebih banyak aktiviti sukan tanpa sentuhan dibuka semula

0
107
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk membuka semula beberapa lagi aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti sukan seperti joging, brisk walking, berbasikal dan senaman dilakukan dengan terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.

“Selain itu, turut dibenarkan ialah sukan tenis, badminton dan ping pong (acara perseorangan sahaja), permotoran (dua roda dan empat roda), aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan), gimnasium dan golf,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, bagi penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, sepak takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf perlu dilakukan secara penjadualan dan tempahan.

Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) badminton, tenis dan ping pong kebenaran hanya bagi acara perseorangan dan hanya 30 peratus individu yang dbenarkan berada di dalam premis.

“Pemain juga dilarang berkongsi peralatan seperti raket dan bat. Bagi memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan pada setiap masa SOP am gimnasium pula perlu dilakukan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter (aktiviti statik) dan tiga
hingga lima meter (aktiviti dinamik).

“Hanya 30 peratus individu yang dbenarkan berada di dalam premis. Jarak susunan peralatan sekurang-kurangnya dua meter.

“Peralatan yang dikongsi dibersihkan dan dinyahkuman selepas setiap kali penggunaan. Kelas latihan berkumpulan tidak dibenarkan.

“Penggunaan bilik persalinan dan bilik mandi juga dilarang,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here