PKP: Kerajaan benarkan mesyuarat, pameran dan persidangan

0
80
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Aktiviti mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan dibuka semula bermula 5 Mac depan oleh kerajaan dengan perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran program berkenaan perlu mematuhi had 25 peratus berdasarkan ruang kapasiti premis atau maksimum 250 orang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lain.

Beliau berkata, kebenaran itu diberikan setelah Ahli Jawatankuasa Teknikal termasuk Kementerian Kesihatan meneliti kesan yang dihadapi penggiat industri yang kerugian teruk dan ramai kehilangan pekerjaan melalui data yang dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kerajaan sebelum ini membenarkan MICE bagi kawasan PKPB dengan kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus daripada kapasiti premis dan di kawasan PKPP berdasarkan keluasan tempat asalnya ada penjarakan.

“Semalam MOTAC bentang bahawa hasil dari industri MICE 2020 menurun kepada RM2.25 bilion berkurangan sehingga 90 peratus, berbanding 2019 yang menyumbang RM9.25 bilion kepada ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Selain itu, katanya, lebih 5,000 pekerja bagi industri ini telah hilang pekerjaan dan pemain industri berhadapan dengan gulung tikar dalam masa terdekat.

Berikutan itu, katanya, setelah berbincang dan mendapatkan pandangan daripada semua Ahli Jawatankuasa Teknikal termasuk Kementerian Kesihatan, kerajaan setuju untuk benarkan aktiviti MICE.

“Namun, apabila bersemuka di kawasan PKP perlu mematuhi had 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang atau mana-mana lebih kecil dengan pematuhan aspek penjarakan sosial dan SOP lain.

“Bagi pandangan kita, lebih mudah untuk buat kawalan di kawasan tertutup supaya keluar masuk serta pemantauan lebih muda. Maka kita benarkan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here