
CYBERJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, yang bermula hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Muhyiddin turut mendoakan semua calon peperiksaan diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan menjawab soalan serta memperoleh kejayaan dan cemerlang dalam kehidupan.
“Saya doakan semua calon diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Semoga anda semua memperoleh kejayaan dan cemerlang dalam kehidupan.

“Walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran anda, namun saya yakin semangat untuk berjaya dan dedikasi para guru dalam menyampaikan ilmu mampu menyuntik semangat untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini.
“Kepada semua calon, jagalah kesihatan dan jawablah soalan dengan tenang. Kepada guru dan ibu bapa, semoga didikan dan doa anda semua mengiringi kejayaan pelajar-pelajar kita. Insya-Allah,” katanya.
Bermula pagi ini, seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan menduduki SPM 2020 dalam suasana pembudayaan norma baharu.