PM ulangi pendirian adakan PRU selepas keadaan selamat

0
70
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi komitmennya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 telah reda dan pilihan raya umum (PRU) adalah selamat untuk diadakan.

Perdana Menteri berkata, sebagai Ketua Kerajaan, beliau sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. 

“Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Penjelasan Terkini Mengenai Pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pemasyuran Ordinan Darurat Dalam Mengurus Pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat. 

Katanya, kerajaan telah mendapat perkenan tersebut selepas baginda berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan jemaah menteri.

Muhyiddin berkata, Proklamasi Darurat yang dibuat itu tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

Sementara itu,menyentuh mengenai tindakan segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, katanya, beliau percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here