Polis berhak tahan dan reman jika gagal kemuka pengenalan diri

0
128
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acrly Sani Abdullah Sani

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak untuk menahan dan reman mana-mana individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acrly Sani Abdullah Sani berkata, kegagalan mengemukan pengenalan diri semasa diperiksa oleh polis adalah satu kesalahan.

“Kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa diperiksa oleh polis adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990 dan boleh ditangkap tanpa waran dibawah peraturan yang sama.

“Individu terbabit juga boleh berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Acryl Sani menegaskan dakwaan yang dibuat oleh sebuah portal berita bahawa polis tidak berhak untuk menahan atau menangkap mana-mana individu yang gagal mengemukakan pengenalan diri adalah bertentangan dengan undang-undang.

“Terdapat kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita online mendakwa PDRM tidak berhak untuk menahan atau menangkap mana-mana individu yang gagal membawa atau mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.

“PDRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bercanggah dengan peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990,” katanya.

Dalam pada itu, Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa membawa dokumen pengenalan diri sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 6 PPPN 1990.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here