
KOTA BHARU – Pihak Polis Diraj Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan satu pasangan suami isteri Orang Asli yang menghilangkan diri ketika menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, Khamis lepas.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, ujian saringan itu sepatutnya dilakukan ke atas wanita berusia 33 tahun dan suaminya, selepas bayi perempuan mereka yang berusia 25 hari disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata, laporan diterima daripada seorang jururawat di HSIP pada 9.30 malam, Khamis lepas selepas mendapati pasangan itu tiada di hospital ketika ujian saringan hendak dilakukan ke atas mereka.
“Pengadu telah diberitahu oleh kakitangan yang bertugas di wad kecemasan yang memberitahu ibu kepada pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi bayi (NICU) telah menghilangkan diri.
Pihak hospital juga memberitahu sudah mencari pasangan yang beralamat di Pos Tohoi, Gua Musang itu di kawasan hospital tetapi gagal ditemui serta tidak dapat dihubungi,” kata Shafien, hari ini.
Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan berhubung penyakit berjangkit yang berbahaya kepada nyawa).