Polis serbu dan potong elektrik premis judi di Melaka

0
40
Operasi pemotongan elektrik di premis judi-Gambar Fail

MELAKA – Polis menyerbu dan memotong bekalan elektrik di enam premis yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, serbuan itu dilakukan menerusi Op Dadu.

Katanya, operasi diadakan pada Khamis lalu bermula pukul 10 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPK Melaka dan berakhir kira-kira pukul 4 petang.

“Operasi dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu turut membabitkan serbuan di beberapa premis yang sebelum ini sudah dikenakan tindakan termasuk dihadapkan ke mahkamah.

“Walaupun pernah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, pemilik premis berkenaan masih tidak serik malah meneruskan aktiviti tersebut,” katanya.

Menurut Mohd. Sukri, pihaknya akan meneruskan operasi pemotongan bekalan elektrik dan bertindak lebih tegas termasuk mengambil tindakan ke atas pemilik yang menyewakan premis untuk kegiatan judi dalam talian

“Tndakan berkenaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here