Polis serbu rumah lelaki dakwa murtadkan isterinya

0
879
Tangkap layar video seorang lelaki yang mendakwa memurtadkan isterinya

JOHOR BAHRU – Polis menyerbu sebuah rumah yang diduduki seorang lelaki India yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam menerusi satu video tular di media sosial di Perjiranan Dato Onn, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan dalam pemeriksaan pada pukuk 9.50 malam itu.

Katanya, ketika anggota polis tiba di lokasi mereka mendapati sekumpulan orang awam berada di kawasan premis kerana mengesyaki lelaki terbabit berada di dalam rumah berkenaan.

“Anggota polis berjaya mengawal keadaan dan pemeriksaan di rumah mendapati hanya bapa dan kakak lelaki itu mendiami rumah berkenaan.

“Suspek berusia 29 tahun juga sudah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes video yang tular itu disiasat oleh Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Berikutan itu, katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 serta Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan.

Sejak semalam tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki berbangsa India mengaku memurtadkan wanita Islam menggunakan laman sosial Facebook.

Video tersebut yang dirakam dalam bahasa Tamil bagaimanapun turut mempunyai sari kata berbahasa Melayu.

Lelaki tersebut mendakwa untuk memurtadkan wanita Islam amat mudah dengan hanya perlu ke negara jiran.

Dakwaan lelaki tersebut mengejutkan ramai pihak dan mahu polis mengambil tindakan segera.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here