Polis tahan lelaki Uzbekistan buat ‘drama’

0
175

CYBERJAYA – Seorang lelaki warga Uzbekistan ditahan selepas membuat laporan palsu dirinya diperas anggota polis sehingga menyebabkan kerugian RM8,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berkenaan berbuat demikian semata-mata untuk meraih simpati majikannya untuk pinjaman.

Beliau berkata, tindakan lelaki berumur 37 tahun itu hanya mengundang padah apabila siasatan polis mendapati suspek telah berbohong dan menyebabkan dia ditahan semalam.

“Lelaki itu membuat laporan polis pada 25 Februari lalu berkaitan kes pemerasan oleh anggota unit peronda polis (MPV). Dia memberitahu kejadian berlaku di tepi Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, dan mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM8,000.

“Susulan itu, satu serbuan dijalankan pukul 8.33 malam tadi di Jalan Selangor, Off Jalan Travers dan merampas salinan laporan polis serta barangan lain.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati keterangan yang diberikan adalah tidak konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, semakan terhadap akaun milik lelaki berkenaan mendapati tiada transaksi pengeluaran wang pada tarikh 21 Februari lalu seperti yang didakwa.

“Dia mengaku membuat laporan palsu dengan mereka cerita satu kejadian yang tidak wujud kerana wang yang dipinjam daripada majikan tercicir.

“Dia membuat laporan polis agar mendapat simpati daripada pihak majikan bagi mendapatkan pinjaman wang untuk kali kedua,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Anuar kes dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Kuala Lumpur dengan cadangan pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak sesekali membuat laporan palsu ataumemberikan keterangan palsu kepada pihak Polis,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here