Program MyGrocer@Wilayah diperluas, tawar harga rendah, peluang niaga

0
219
Penduduk di Perumahan Awam Sri Sabah, Kuala Lumpur membeli barangan keperluan harian di trak saji MyGrover@Wilayah. MT/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR – Program jualan barang keperluan harian menggunakan trak, MyGrocer@Wilayah akan diperluas ke lebih banyak kawasan bagi meringankan beban dan kos sara hidup orang ramai khususnya di ibu kota. 

Selain memaksimumkan manfaatnya, program yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini itu juga bertujuan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan runcit secara mobil.

Ketua Pegawai Eksekutif Rumah Nenek Sdn. Bhd, Abu Zaki Abu, selaku operator program itu berkata, pihaknya mensasarkan 30 usahawan trak saji dalam masa dua tahun yang akan beroperasi di 178 lokasi tertumpu di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA).

“Alhamdulillah kami menerima sambutan yang cukup baik daripada penduduk di kawasan operasi trak saji kami.

“Sebagai permulaan, operasi MyGrocer kini dilakukan oleh 4 buah trak dan kami mensasarkan jumlah itu meningkat kepada 30 usahawan dalam masa dua tahun lagi,’’ katanya ketika ditemui Malakat Tribune di Perumahan Awam Sri Sabah hari ini.

Menurut Abu, dengan modal serendah RM10,000 hinga RM15,000, peserta boleh mengikuti program keusahawanan ‘francais’ berkenaan dengan pulangan modal secara kasar dalam  tempoh 5 hingga 6 bulan.

“Kos RM10,000 hingga RM15,000 itu termasuk modal permulaan untuk membeli barang, sewa dan deposit trak. 

“Kita menggalakkan usahawan berusia 30 tahun ke bawah untuk menyertai program ini 

namun ia terbuka kepada sesiapa sahaja,’’ katanya.

Sebahagian daripada barangan keperluan yang dijual di MyGrocer@Wilayah. MT/FARID JANUDIN
Abu Zaki Abu MT/FARID JANUDIN

Mengulas mengenai operasi jualan, Abu berkata, setiap usahawan hanya perlu berniaga dua kali sehari mengikut jadual dan lokasi yang ditetapkan iaitu antara pukul 8 hingga 11 pagi dan 4 hingga 7 petang..

“Anggaran pendapatan bersih daripada jualan ini adalah sekitar RM5,000 hingga RM10,000 sebulan,’’ katanya.

Program MyGrocer@Wilayah yang dilancar bersama program My Bus, My Medic, My Food dan My Job sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu adalah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan rakan strategik, Rumah Nenek Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Sri Sabah 3B, Zainal Abidin Abdul Wahab berkata, konsep jualan menggunakan trak itu memberi banyak kemudahan kepada kira-kira 4,000 penduduk di pangsapuri Sri Sabah.

“Kami menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah ini kerana tepat pada masanya. Ini adalah salah satu penyelesaian kos sara hidup bagi warga kota terutama di zaman Covid-19 sekarang,’’ katanya.

Zainal Abidin Abdul Wahab MT/FARID JANUDIN

Zainal Abidin berkata, usaha yang banyak manfaat itu diharap dapat diteruskan sampai bila-bila dan dilaksanakan secara meluas. 

Pelanggan, Che Norma Mat Roni, 62, harga yang ditawarkan di MyGrocer@Wilayah amat berpatutan berbanding dengan kos yang perlu dikeluarkan sekiranya pergi membeli-belah di luar.

“Dengan adanya jualan runcit pada harga yang lebih murah, penduduk tidak lagi terbeban dengan kos pengangkutan untuk membeli-belah di luar

“Untuk barang-barang basah pula, ia dijual dalam keadaan yang sudah dipotong. Memudahkan kami suri rumah untuk memasak,’’ katanya.

Che Norma Mat Roni.
Azizah Borhan. MT/FARID JANUDIN

Bagi Azizah Borhan, 59, dia cukup berpuas hati dengan kualiti dan kesegaran barang makanan yang dijual.

“Kalau untuk dapatkan barang-barang keperluan dapur harian, memang semuanya ada dijual. 

“Usaha seperti ini sepatutnya sudah lama dilakukan oleh kerajaan kerana ramai golongan yang mengalami kesukaran untuk keluar ke pasar raya misalnya warga emas dan orang kurang upaya,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here