Projek musang king di Gunung Inas sudah diarahkan tutup sejak tahun lalu – MB Kedah

0
344
Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang lelaki menunjukkan kawasan di Gunung Inas yang akan ditanam Musang King

CYBERJAYA – Kerajaan Kedah telah mengarahkan projek tanaman durian di Gunung Inas yang didakwa menyebabkan banjir di kawasan penempatan penduduk dihentikan pada Julai tahun lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana dasar kerajaan negeri secara jelas menetapkan bahawa setiap peraturan mesti dipatuhi dan pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi.

“Kepentingan rakyat mesti didahulukan.

Projek ladang hutan mesti ditanam spesis yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan dan durian tidak termasuk spesis itu.

“Walaubagaimanapun, Jabatan Perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan yang diluluskan ditanam dengan spesis buah-buahan.

“Pada masa itu, dilaporkan 2,000 ekar sudahpun ditanam durian musang king.

Muhammad Sanusi

“Arahan kerajaan jelas untuk hentikan tanaman durian musang king, kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah yang diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat memaparkan seorang lelaki bersama beberapa individu lain mendakwa bahawa kawasan Gunung Inas yang terletak antara Kulim dan Baling akan dijadikan dusun durian terbesar di dunia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai video yang tular itu, katanya, video tersebut adalah rakaman lama sebelum arahan berhenti kerja dibuat pada Julai tahun lalu.

“Saya tidak kenal mereka, sama ada mereka itu syarikat yang diberi hak membangunkan ladang hutan selepas tahun 2013 ataupun syarikat yang membeli projek itu daripada syarikat asal.

“Saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula. Walaubagaimanapun, saya telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terbabit daripada semua agensi yang terbabit.

“Tindakan berikutnya akan dibuat berdasarkan laporan-laporan itu,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here