
CYBERJAYA – Kadar kebolehjangkitan Covid-19 turun ke tahap yang sangat rendah selepas 7 hari seseorang dijangkiti virus berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, oleh itu individu yang disahkan positif perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh itu.
“Kadar kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas 7 hari dijangkiti bermula dari hari pertama,” katanya melalui hantaran KKM di Facebook hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, dalam tempoh 7 hari ini, orang ramai juga perlu mematuhi sepenuhnya SOP seperti elak berhimpun di khalayak ramai atau berada di tempat sempit atau bersembang dalam jarak dekat.
“Jika kita perlu keluar rumah untuk bekerja atau urusan penting, pastikan kita memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan amalkan penjarakan sosial.
“Perkara ini mudah tapi tidak ramai yang boleh patuh 100%. Yang paling penting ialah kepatuhan kepada SOP.
“Kalau semua boleh patuh kepada SOP, InsyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan dalam negara kita,” katanya.
Mengulas tentang petugas kesihatan yang kini mula keletihan, Dr. Noor Hisham menasihatkan petugas kesihatan supaya bersabar dan terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Kalau bukan kita (petugas kesihatan) siapa lagi yang boleh diharapkan? Seluruh rakyat Malaysia hari ini mengharapkan kepada petugas kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, KKM sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menempatkan tahanan dalam penjara ke Kem PLKN dan Kem Wawasan yang diubah suai menjadi Penjara Sementara atau Penjara Satelit.
Dr. Noor Hisham berkata, tahanan yang disabitkan jenayah ringan akan dipindahkan ke Penjara Satelit yang dikawal oleh kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, Imigresen, RELA dan pasukan keselamatan lain.
Langkah ini bagi mengawal dan mengurangkan kes-kes jangkitan Covid-19 dalam penjara, Depoh Tahanan Imigresen dan Depoh Tahanan Sementara terutama di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur, katanya.