‘Rasa macam nak meletup kepala, Hamzah Zainuddin kongsi pengalaman kena Covid

0
264

PUTRAJAYA – Suhu badan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencecah 38.9 darjah Celsius dengan sakit kepala yang tidak tertanggung ketika dijangkiti Covid-19 selepas disahkan positif Covid-19 pada 12 Januari lalu.

Beliau yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur sebelum pulih 24 Januari lalu juga mengaku mengalami kesakitan pada seluruh anggota badan.

“Saya tak tahulah daripada mana (punca jangkitan) tapi bila dah kena sakit… sapa kata tak sakit? Semua badan macam kena demam urat.

“Kalau sakit serang kepala macam saya kena, Allah rasanya nak meletup,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Hamzah berkata, bacaan enzim hatinya juga meningkat sehingga 900 dan berkemungkinan terkesan jangkitan bakteria.

“Apabila dah naik macam itu, doktor berhati-hati untuk memberi ubat dan demam pula merekodkan suhu 38.9 darjah Celsius,” katanya.

Katanya, akibat dijangkiti wabak itu, beliau terpaksa menjalani fisioterapi bagi memulihkan kekuatan fungsi paru-paru.

“Fisioterapi ini perlu dilakukan dua kali seminggu,”katanya.

Semasa menerima rawatan, beliau banyak menghabiskan masa membaca al-Quran, berdoa dan beribadah kepada Allah dengan harapan penyakit itu cepat hilang.

Sehubungan itu beliau berkata, masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan diri dijangkiti virus itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here