Raudhah College tawar pendidikan percuma kepada pelajar lepasan sekolah

0
631
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim

RAUDHAH CITY – Institut pendidikan tinggi swasta, Raudhah College menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar lepasan sekolah menengah yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, tawaran itu dibuat dengan syarat keluarga mereka perlu berbelanja minimum RM300 di pasar raya Malakat Grocer selama 10 tahun.

“Sebelum ini kami tawar tanah, kali ini kami tawarkan pendidikan percuma di Raudhah College. Tak perlu bayar apa-apa kos pelajarannya. Syaratnya, tuan puan pindah belanja untuk tempoh minimum 10 tahun.

“Pada setiap pembelian yang anda buat, anda akan menyumbang kepada tabung pendidikan anak anda. Kami hanyalah pemegang amanah yang mengagih kekayaan,” katanya hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pada masa ini kolej tersebut mempunyai beberapa blok di Malakat Mall dan akan berkembang lagi di masa hadapan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perancangan masa panjang kolej tersebut, Coach Fadzil berkata, pihaknya menyasarkan dalam tempoh lima tahun lagi Raudhah College akan menjadi kolej pilihan utama pelajar.

Orang ramai membeli barangan keperluan di Malakat Grocer, Malakat Mall berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini kerana Raudhah College menawarkan program yang membolehkan para pelajarnya mendapat ‘work-ready graduate’ (graduan yang ada kerja) yang terjamin.

“Setakat ini tiada kolej yang menawarkan jaminan pekerjaan. Para pelajarnya boleh buat pilihan, hendak buat kajian perniagaan atau IT, di mana ada School of Blockchain dan School of Coders untuk menyediakan para pelajarnya dalam suasana pekerjaan. Pada masa sama, 70 peratus latihan praktikal akan diutamakan,” ujarnya.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menyediakan pendidikan percuma adalah untuk mengelakkan pelajar atau ibu bapa daripada berhutang.

Bangunan Raudhah College di Malakat Mall, Cyberjaya

“Kami tak mahu anak-anak kita nanti terikat dengan hutang pendidikan melalui pinjaman. Ada banyak pinjaman seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bank atau koperasi.

“Yang lebih teruk ialah kita terlibat dengan riba tetapi kita tiada pilihan kerana terpaksa. Tak mengapa kerana kita anggap ia darurat. Contohnya macam makan babi. Babi boleh dimakan bila darurat, tapi tak bolehlah makan sampai bila-bila.

“Dulu kita terpaksa ambil pinjaman dan sebagainya kerana terpaksa akibat tak ada pilihan tetapi untuk anak kita, anda hanya perlu berbelanja di Malakat Grocer minimum RM300 sebulan. RM300 itu tak banyak terutamanya bila ada anak,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here