Reunion alam maya Akademi Bonda Nor meriah

0
223
Imej tangkap layar yang memaparkan para mentor dan perantis ABN dalam program Reunion 2021 semalam

CYBERJAYA – Bertemu sekadar di alam maya, tapi perasaannya ibarat bertemu di alam nyata.

Begitulah yang dirasakan oleh lebih 50 mentor dan perantis Akademi Bonda Nor (ABN) dalam program Reunion yang dianjurkan di platform aplikasi Google Meet semalam.

Pengasas akademi tersebut, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, 44, berkata, program itu merupakan acara tahunan yang dibuat sejak ia ditubuhkan pada tahun 2017.

Memandangkan negara masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), beliau terpanggil untuk menjayakan acara itu secara maya.

“Teknologi yang ada membolehkan pelbagai perkara boleh dilakukan. Jadi mengapakah tidak kita manfaatkannya dengan sebaik-baiknya?

“Alhamdulillah, walaupun sekadar bertemu di depan komputer riba, telefon pintar mahupun tablet, tetapi ukhuwah itu tetap sampai di hati,” ujar Bonda Nor ketika dihubungi portal Malakat Tribune.

Bonda Nor

Pengisian program bermula seawal pagi dengan acara karpet merah secara virtual.

Seterusnya diikuti dengan slot tetamu jemputan iaitu Ustaz Fazrul Ismail dari program QuranTime yang berkongsi modul untuk bergelar penulis berjaya mengikut cara Islamik.

Ustaz Fazrul Ismail

Pengarah Program, Abdul Muiez Rosli, 38, berkongsi, meski berdepan beberapa cabaran untuk menjayakan majlis tersebut, namun ia dapat diatasi berkat kerjasama antara jawatankuasa yang dilantik.

“Paling teruja apabila semua ahli keluarga besar ABN di seluruh negara berjaya menerima hadiah masing-masing seperti yang dihajati melalui penggunaan aplikasi DrawNames.

“Menggunakan aplikasi ini, para penulis menunjukkan hadiah yang diinginkan untuk dibeli oleh Sahabat Syurga yang terpilih menerusi undian rahsia sebelumnya.

“Macam saya sendiri yang meletak dua jenis hadiah idaman, satu harganya murah manakala satu lagi agak mahal. Tetapi Sahabat Syurga saya memilih untuk membeli hadiah yang mahal,” jelas kaunselor dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor ini.

Abdul Muiez

Sementara itu, Intan Lily Julienna Rosily, 44, memberitahu, dia tidak menyangka akan menerima kesemua hadiah yang disenaraikan dalam aplikasi tersebut lantaran kemurahan hati Sahabat Syurganya itu.

“Sebenarnya saya letak tiga jenis hadiah sebagai pilihan untuk mereka memilih mana yang mudah. Alih-alih saya pula memperoleh empat hadiah, lebih satu daripada yang saya hajati. Syukur sangat,” jelas wanita bergelar ibu tunggal yang berasal dari Tangkak, Johor ini.

Intan Lily Julienna

Apa yang menarik, slot pertukaran hadiah antara sahabat ini diinspirasikan daripada sifat pemurah Bonda Nor sendiri. Mereka telah dilatih untuk sentiasa memeriahkan sesi pertukaran hadiah setiap kali program dijalankan. Justeru, walaupun secara dalam talian, acara ini tetap berjaya dilaksanakan dengan cukup berkesan.

Maka, para anak didiknya berlumba-lumba untuk mencipta kebahagiaan kepada sahabat mereka melalui hadiah yang diminati.

“Bonda Nor banyak mengajar kami agar sentiasa memberi kerana amalan sedekah itu tidak pernah merugikan, sebaliknya menjadikan kita lebih bahagia,” ungkap Rohamiah Muda, seorang pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

Sebahagian hadiah berupa hamper buah dan kek cawan yang dikirim oleh Sahabat Syurga Bonda Nor dalam program kali ini

ABN merupakan satu pertubuhan yang mengumpulkan barisan penulis dakwah santai daripada pelbagai lapangan profesional yang menerima bimbingan secara terus dari Bonda Nor tanpa sebarang bayaran selain mendapat kerjasama dengan syarikat penerbitan, Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Melalui akademi ini, mereka dilatih dan memberi tunjuk ajar dalam banyak aspek ilmu penulisan termasuk cara memasarkan buku dan sebagainya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here