Rina Harun ke Malakat Mall, lancar subsidi makanan RM350,000

0
725
Rina Harun bertanyakan sesuatu kepada penerima Bantuan Subsidi Makanan untuk golongan terkesan pandemik Covid-19 di Malakat Mall hari ini. -MT/FARID JANUDIN

CYBERJAYA – Malakat Mall melalui Yayasan Brainy Bunch hari ini melancarkan Program Bantuan Subsidi Makanan berjumlah RM350,000 bagi meringankan beban golongan B40 khususnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program dengan kerjasama Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menggunakan Tabung Zero Hunger itu disalurkan kepada 250 penerima dari Parlimen Sepang.

Sumbangan berupa baucer pembelian bulanan di Malakat Grocer bernilai RM30 selama 12 bulan, lampin kanak-kanak, susu dan seragam sekolah bernilai RM50,000.

Majlis penyampaian sumbangan kepada 10 daripada penerima itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Malakat Mall hari ini.

Hadir sama Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali.

Pada lawatan itu Rina yang diiringi Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Efizah Mohtar Rasali sempat meluangkan masa melawat premis-premis perniagaan di Malakat Mall.

Rina Harun diiringi Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim meninjau produ-produk yang dijual di Malakat Grocer. -MT/FARID JANUDIN.

Rina berkata, kementeriannya berterima kasih kepada Malakat Mall atas usaha dan sumbangan yang diberikan dalam meringankan beban masyarakat khususnya golongan ibu tunggal dan suri rumah yang terjejas pendapatan.

“Terima kasih Coach Fadzil atas keprihatinan beliau menghulurkan bantuan kepada penerima yang dikenal pasti.

“Saya berbual dengan penerima, ada yang sudah hilang pendapatan sejak tahun lepas lagi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, usaha Malakat Mall memberi bantuan itu harus dijadikan contoh oleh sektor swasta untuk sama-sama membangunkan semula negara.

“Di kementerian kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak swasta kerana kita tidak boleh bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

“Misalnya sebelum ini kita ada Inisiatif Pakej Bantuan PERMAI 2021 yang mengagihkan kira-kira 500,000 bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu turut memberi dorongan dan semangat kepada golongan wanita di negara ini yang dibelenggu masalah kewangan supaya terus cekal dan bangkit mengubah hidup.

Nurul Huda Che Soh

Penerima Program Bantuan Subsidi Makanan Malakat Mall, Nurul Huda Che Soh, 43, berkata, usaha yang dilakukan oleh Malakat Mall seharusnya dilakukan oleh lebih banyak pemilik perniagaan di negara ini.

“Walaupun keadaan sekarang agak getir dan baharu sahaja bertapak, Malakat Mall sanggup membantu kami golongan B40, kami ucapkan terima kasih banyak-banyak.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan kami sekeluarga,” kata ibu kepada 11 anak dari Kampung Pulau Meranti, Dengkil itu.

Rozini Muhamad Hussain

Bagi Rozini Muhamad Hussain, 40, pemberian baucer selama setahun untuk berbelanja di Malakat Grocer itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah banyak juga Malakat Mall beri dan sebagai pengguna insyallah saya akan terus beri sokongan kepada perniagaan Malakat Mall,” kata ibu kepada 5 anak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here