
CYBERJAYA- Saringan alahan dan kesihatan akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum seseorang individu layak menerima suntikan vaksin Covid-16 yang bermula 26 Februari ini.
Langkah berkenaan bagi memastikan individu yang tidak sesuai tidak diberikan suntikan vaksin bagi mengelak sebarang risiko dan kesan sampingan kepada penerima itu kelak.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk mereka yang diberikan suntikan vaksin, mereka akan dipantau untuk tempoh 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin.
“Selepas suntikan vaksin, kita akan membuat pemantauan. Ini bagi memastikan tiada reaksi alahan yang agak serius sejurus menerima suntikan. Jika tiada, maka mereka dibenarkan pulang,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
Menurut Muhyiddin, seperti vaksin lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sampingan yang agak ringan kepada pesakit seperti bengkak di tempat suntikan dan sebagainya.
Bagaimanapun katanya, kesan sampingan itu akan pulih dengan sendiri.
“Namun begitu, jika ada perkara-perkara tertentu yang perlu diambil kerajaan, maka Kementerian Kesihatan akan meneliti dan mengkaji apakah langkah-langkah seterusnya untuk menentukan proses imunisasi yang dilaksanakan tidak akan terganggu malah boleh diteruskan ke satu peringkat di mana hampir semua yang layak menerima vaksin diberikan vaksin,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan sentiasa memantau perkembangan di negara-negara yang lebih awal menjalankan vaksinasi dan kesan sampingan selepas suntikan diberikan.
Namun, beliau meletakkan harapan tinggi agar tiada sebarang insiden atau perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan.
“Kita lihat contoh-contoh negara yang lebih awal melaksanakan vaksinasi. Seperti di Indonesia, saya berjumpa Presidennya, Joko Widodo yang sudah menerima vaksin dan beliau nampak sihat.
“Jadi, kerajaan harap dengan keadaan yang kita perhatikan berlaku di banyak negara, maka demikian juga apa yang kita harap akan terima di Malaysia,” katanya.