
CYBERJAYA – Proses bagi membina sekolah di atas air bagi mengajar penduduk Bajau Laut yang memeluk agama Islam oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew semalam telah dimulakan hari ini.
Menurut Ebit dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya, sebanyak tiga buah sekolah akan dibina bagi kemudahan penduduk tersebut.
“Sebak, menangis bila petang tadi masa tengok kayu di Pulau Tatagan dah sampai untuk buat sekolah atas air.
“Dalam masa sebulan akan siap sekolah ini, insya-Allah. Saya dah cari enam orang guru untuk tiga sekolah yang saya nak bina ini.
“Dua orang guru akan duduk di Pulau Tatagan di sini untuk mengajar sepenuh masa. Saya akan bayar gaji dan perbelanjaan jamuan dan sedikit keperluan asas orang kampung secara konsisten,” katanya.

Semalam, Ebit mengislamkan sebanyak 157 penduduk Bajau Laut di Sabah yang hidup mereka sepanjang masa di atas air.
Pengislaman saudara baharu itu mengundang sebak orang ramai yang memuji usaha Ebit dalam berdakwah dan menyebarkan ajaran Islam walaupun sibuk menjalankan misi kemanusiaan.

Dalam pada itu, Ebit berkata, guru-guru tersebut akan mengajar pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Pada masa sama katanya, guru-guru tersebut juga boleh berbahasa Bajau Laut.
“Saya siapkan sekolah itu untuk adakan kelas setiap hari. Saya juga mengalu-alukan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dan jemaah dakwah hadir ke sana untuk menghidupkan suasana iman,” katanya yang sempat mengajar sekali lagi kalimah syahadah bersama penduduk berkenaan.-MT