Siasatan JAIS diperingkat akhir berkenaan ‘agama Melayu’

0
284
Datuk Ahmad Marzuk Shaary

CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang melakukan siasatan terhadap ajaran ‘agama Melayu’ yang dibawa oleh seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, siasatan berkenaan dijalankan oleh JAIS kerana kes berlaku di Selangor.

“(Siasatan) hampir selesai dalam masa terdekat ini. Kita akan buat pengumuman. Ada laporan (diterima) bukan sahaja mengenai hal ini, malah sebelum ini mengenai Prof. Dr. Wan Maseri Wan Ahmad.

“Kita akan panjangkan kepada Muzakarah Hal Ehwal Islam sama ada kandungan ajaran itu benar atau bercanggah,” katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani hari ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasrudin Hassan mengingatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa individu dikenali sebagai “Ibu Yati”.

Nasrudin berkata, ia susulan dakwaan lahirnya agama baharu dikenali sebagai “Agama Melayu”, menggunakan lafaz Syahadah yang pelik dan disambung dengan pengakuan “Aku Melayu” sebanyak tujuh kali.

Menurut Ahmad Marzuk lagi, tindakan pendakwaan akan dilakukan oleh JAIS sekiranya siasatan jabatan itu mendapati wujud unsur penyelewengan dan terpesong.

Dalam pada itu katanya, orang ramai tidak wajar menghukum berdasarkan video yang tular, sebelum siasatan ke atas ajaran berkenaan selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here