SOP sambutan Tahun Baharu Cina diubah, makan besar keluarga seramai 15 orang dibenarkan

0
132
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan meminda prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dengan membenarkan ahli keluarga terdekat dari kediaman lain menyertai acara makan besar keluarga pada 11 Februari ini.

Menurut Kementerian Perpaduan Negara, dalam SOP baharu yang diluluskan oleh Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerajaan tutup menetapkan syarat bilangan mereka yang hadir tidak melebihi 15 orang.

“Kebenaran itu bagaimanapun hanya membabitkan mereka yang tinggal dalam lingkungan radius 10 kilometer, tanpa rentas daerah dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata kenyataan itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari dengan tertakluk kepada SOP ketat.

“Bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.

“Jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi “Hokkien Clan”.

Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut, Pegawai Pemantau yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here