SOP Tahun Baru Cina sudah lalui perbincangan dengan wakil agama

0
125
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baru Cina adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP tersebut tidak sepatutnya dipertikai kerana telah melalui prosedur yang sama dilaksanakan sewaktu perayaan lain.

“Untuk makluman semua, setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh KPN dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas MKN.

“Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, KPN terlebih dahulu wajib mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit,” katanya dalam kenyataan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail berkata, KPN akan mengangkat hasil perbincangan tersebut untuk dibincang semula bersama MKN dan KKM khususnya bagi menilai risiko kesihatan.

Katanya, setelah keputusan antara KPN, KKM dan MKN dibuat, barulah KPN akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP tersebut diumumkan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, sebelum SOP Deepavali, Thaipusam, Krismas, Hari Gawai serta Pesta Kaamatan diumumkan, KPN telahpun berbincang dan mendapat persetujuan bersama pemimpin agama yang berkaitan bagi membangunkan SOP yang akan dikeluarkan.

“Pada kebiasaannya, bagi menghormati keputusan tersebut, kerajaan jarang mengubah SOP yang telah diputuskan KPN bersama pemimpin agama dan pertubuhan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam isu Tahun Baru Cina, KPN memaklumkan telah mengadakan dua kali sesi libat urus dengan 21 badan pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, persatuan perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak berkaitan bagi sama-sama menyediakan SOP.

“Sebab itulah, agak menghairankan apabila SOP yang dibentangkan untuk Tahun Baru Cina kali ini dikritik hebat oleh masyarakat,” katanya.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam catatan di Facebooknya hari ini mendakwa MKN melakukan kesilapan dalam SOP perayaan Tahun Baru Cina.

Naib Presiden MCA itu bagaimanapun tidak menjelaskan tentang kesalahan atau cadangan untuk diperbaiki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here