Status anak luar nikah diisytihar sebagai bukan Islam

0
381
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan seorang wanita berstatus anak luar nikah yang mempunyai bapa beragama Islam dan ibu beragama Buddha diisytiharkan sebagai bukan Islam.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakimaan dengan keputusan majoriti 7-2 itu membenarkan rayuan Rosliza Ibrahim serta permohonannya.

Beliau memutuskan bahawa Rosliza bukan orang yang menganut agama Islam kerana tidak ada bukti bahawa beliau adalah seorang Islam dengan kepercayaan yang sebenar.

Tengku Maimun berkata, Rosliza dan ibunya tidak pernah menjadi seorang Muslim, memetik laporan Bernama hari ini.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang bersetuju dengan Tengku Maimun.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim setuju dengan Tengku Maimun berhubung dua persoalan undang-undang itu namun berpendapat tidak boleh membuat sebarang perintah berhubung pengisytiharan yang diminta Rosliza kerana tidak mempunyai pandangan jawatankuasa fatwa.

Rosliza, 38, memfailkan saman pemula pada 2015 untuk mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau telah dilahirkan sebelum bapanya, yang beragama Islam dan mendiang ibunya, penganut Buddha, berkahwin.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula itu atas alasan bukti yang dikemukakan pemohon hanya menunjukkan bahawa tiada pendaftaran perkahwinan dibuat dan perkara itu tidak membuktikan bahawa perkahwinan itu tidak berlaku.

Wanita itu kemudiannya merayu namun gagal setelah rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pada 20 Jan tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here