Tamat tempoh penyewaan jika tidak jaga kebersihan dan buang sampah dari kediaman-DBKL

0
189
Masalah pembuangan sampah dari kediaman yang sering berlaku di PA dan juga PPR

CYBERJAYA – Jaga kebersihan dan jangan buang sampah dari kediaman atau terpaksa berdepan tindakan penamatan perjanjian tempoh penyewaan.

Itu amaran tegas untuk penyewa unit Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Unit Media Jabatan Perancagan Korporat DBKL berkata, itu adalah mesej kepada penghuni atau penyewa supaya menjaga kebersihan di kawasan PA dan PPR DBKL.

Katanya, sebanyak enam kes penghuni atau penyewa ditamatkan tempoh penyewaan pada tahun lalu kerana kesalahan membuang sampah serta peralatan dari aras atas kediaman.

Tindakan tidak bertangungjawab segelintir penduduk di PA dan PPR

“Penyewa yang menghuni unit-unit PA dan PPR  seliaan DBKL perlu menandatangani Surat Perjanjian Penyewaan sewaktu menerima tawaran menduduki kediaman ini.

“Penyewa perlu mematuhi semua syarat-syarat perjanjian yang terkandung di dalamnya dan sekiranya gagal dan melanggar syarat termasuk membuang sampah dari kediaman, mereka boleh dikenakan tindakan penamatan perjanjian tempoh penyewaan,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Sinar Harian.

Katanya lagi, notis 30 hari (bagi tujuan penamatan perjanjian) akan dikeluarkan kepada ketua penyewa sekiranya berlaku pelanggaran syarat perjanjian yang telah ditetapkan.

“Namun, terdapat juga kes di mana notis amaran sahaja yang dikeluarkan kepada penghuni kerana didapati membuang sampah kecil.

“Bagi membendung masalah ini, DBKL turut mengambil langkah memasang jaring seperti di lokasi PPR Seri Pantai dan PPR Desa Tun Razak, Cheras.

Masalah sampah mencacatkan pemandangan dan membuatkan penduduk lain tidak selesa

“Pemasangan jaring ini sebagai alternatif jangka pendek bagi menguruskan kawasan yang berpotensi tinggi terlibat dengan masalah sampah dan kebersihan.

“Pelantikan ketua-ketua blok atau ketua tingkat di setiap PA serta PPR juga dibuat sebagai pemantau kepada masalah kebersihan di sesuatu lokasi perumahan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, persatuan penduduk berperanan untuk mendidik dan memaklumkan penjagaan kebersihan di kawasan PA dan PPR kepada ahli-ahli mereka.

“Di peringkat kontraktor pembersihan pula, tahap kerja pembersihan dipergiatkan lagi dengan pemungutan sampah ‘bulky waste’ di setiap tingkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here