Kerajaan digesa tapis penghantaran semula warga Myanmar

0
408
Iskandar Abdul Samad

SHAH ALAM – Kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam proses penghantaran semula warga negara Myanmar ke negara asal mereka supaya tidak melibatkan etnik Rohingya yang tidak diiktiraf di negara itu.

Ketua Penyelaras, Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, langkah itu bagi mengelakkan etnik berkenaan terus dizalimi sebaik sahaja tiba di negara asal mereka.

“Kami menyokong jika mereka yang dihantar balik adalah mereka yang boleh mengancam keselamatan negara ini atau terlibat dengan kegiatan jenayah di Myanmar.

“Kebimbangan kami adalah terhadap etnik Rohingya beragama Islam yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar.

“Mereka berdepan dengan penindasan, penganiayaan dan keganasan di negara mereka. Mereka menjadi mangsa kerana agama dan etnik mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelarian Rohingya yang tinggal di negara ini.

Kerajaan baharu Myanmar baru-baru ini menawarkan tiga buah kapal tentera laut untuk membawa pulang kira-kira 1,200 orang warga negara itu yang berada di negara ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud bersetuju menyerahkan tahanan warga Myanmar daripada depot tahanan imigresen kepada angkatan laut negara itu.

Iskandar berkata, kerajaan Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap pembelaan etnik Rohingya yang berada di negara ini dan menyelesaikan segera penempatan semula ke negara ketiga untuk mereka memulakan hidup baharu.

Tegasnya, kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap golongan pendatang berkenaan seperti di perumahan flat kos rendah di Pandan, Selangor.

“Keadaannya terlalu kritikal sehingga menakutkan rakyat tempatan. Rakyat tidak melihat kerajaan melakukan apa-apa tindakan yang dapat melindungi mereka.

“Mereka bebas berniaga walaupun tidak memiliki sebarang dokumen yang dikeluarkan kerajaan Malaysia kecuali kad dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Akhirnya rakyat tempatan pula yang merasakan diri mereka seperti warganegara kelas kedua,” ujar Bendahari Pas itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here