Tiada isu berkaitan SOP Tahun Baru Cina di Sarawak

0
171
Richard Wee

KUCHING – Tiada isu dan perkara berbangkit dihadapi masyarakat Cina di Sarawak berhubung penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baru Cina yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA), Datuk Richard Wee berkata, SOP yang diumumkan baru-baru ini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak adalah “lebih jelas dan praktikal” daripada yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu katanya, sebagai anggota masyarakat, SFCA juga membuat perancangan dan pengaturan yang sewajarnya untuk mematuhi SOP negeri sempena perayaan itu kerana tidak tertakluk kepada SOP kerajaan pusat.

“Kebanyakan maklum balas yang saya terima mendapati ahli keluarga tiada masalah berhubung perkara itu dan mereka melakukan apa yang diperlukan untuk mengikuti garis panduan dan SOP yang dikeluarkan,” katanya memetik laporan Borneo Post semalam.

Di Sarawak, upacara makan malam perjumpaan tradisional itu ditetapkan kepada maksimum 20 ahli keluarga, sementara perayaan pada hari pertama terhad kepada 20 orang ahli keluarga pada satu-satu masa.

SOP juga menetapkan tuan rumah menyediakan pemeriksa suhu badan, mencatat butiran seperti nama, tarikh dan masa lawatan, dan nombor telefon, sama ada secara manual atau melalui aplikasi mudah alih MySejahtera, CovidTrace atau Qmunity untuk mengesan kenalan.

Anggota keluarga dengan suhu badan melebihi 37 ° Celsius atau mempunyai gejala penyakit tidak dibenarkan melawat.

SOP pencegahan Covid-19 sempena Tahun Baru Cina yang diumumkan kerajaan pusat pada 4 Februari lalu dikritik umum kerana mengehadkan makan malam perjumpaan dan perayaan secara umum hanya kepada anggota keluarga yang sama.

MKN dalam pengumuman SOP memaklumkan penetapan SOP bagi sambutan perayaan telah melalui perbincangan dengan wakil-wakil masyarakat dan pertubuhan Cina dan diputuskan demi usaha pencegahan wabak Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here