Tiada masalah untuk bekas pesakit kanser terima suntikan vaksin

0
23
Suntikan vaksin juga digalakkan untuk bekas pesakit kanser dan OKU

CYBERJAYA- Tiada sebarang masalah untuk bekas pesakit kanser dan orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan vaksin Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Dalam program bual bicara Vaksin Covid-19 Fasa Pertama di Bernama TV, Dr. Hishamshah berkata, golongan itu memang digalakkan menerima vaksin.

“Pejuang kanser ini kalau rawatan sudah selesai, dengan syarat rawatan terakhir tiga hingga enam bulan sebelum (dapat vaksin), mereka tiada masalah untuk menerima vaksin. Begitu juga golongan OKU, tiada masalah.

“Memang kami menggalakkan mereka terima vaksin kerana mereka golongan berisiko tinggi, selain orang yang menghidap diabetes, darah tinggi, sakit jantung, buah pinggang dan penyakit kronik lain,” katanya.

Selain itu katanya, mereka yang pernah menerima suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) bagi mencegah penyakit Tibi juga tidak mempunyai masalah untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dr Hishamshah menjelaskan setakat ini, tiada data jelas yang mengesahkan sesiapa yang menerima suntikan BCG sebelum ini terlindung daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Walaupun ada teori mengatakan ada perlindungan, tetapi dari segi data yang tepat, tiada. Kalau ada perlindungan melalui BCG dan sebagainya, ia tidak akan melindungi kita daripada Covid-19. Buktinya, ramai antara kita ada vaksinasi BCG, tetapi ramai juga yang dapat Covid-19,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here